Dato’ Menteri Besar, Dato’ Seri Amirudin Shari menyampaikan Anugerah Ikon Anis kepada penerima sempena Jelajah Selangor Penyayang daerah Petaling di Laman MBPJ, Petaling Jaya pada 24 Julai 2022. Foto FIKRI YUSOF/SELANGORKINI
SELANGOR

Penghidap autisme raih kejayaan di pentas global, diangkat ikon anak istimewa

SHAH ALAM, 26 JULAI: Kreativiti menghasilkan lukisan hingga meraih pelbagai pengiktirafan termasuk peringkat antarabangsa mengangkat penghidap autisme sebagai ikon Anak Istimewa Selangor (AnIS).

Meski tidak menerima pendidikan formal dalam bidang seni, Wan Jamila Wan Shaiful Bahri menghasilkan ratusan lukisan antaranya berkonsep abstrak, realistik dan impresionisme sejak bergiat mulai 2017.

Ibunya Noorhashimah Mohamed Noordin, 61, gembira berikutan anaknya yang juga dikenal Art Jamila dipilih ikon sekali gus membuktikan bakat remaja berusia 20 tahun itu dihargai ramai.

“Saya berterima kasih kepada Kerajaan Negeri kerana pilih anak saya sebagai ikon salahs seorang AnIS. Anugerah ini pasti menyuntik semangatnya lagi,” katanya.

Beliau mewakili anaknya menerima anugerah dalam program Jelajah Selangor Penyayang di Laman Majlis Bandaraya Petaling Jaya (MBPJ) pada 24 Julai.

Pencapaian Art Jamila antaranya ensiklopedia Britishpedia (2020), projek keamanan dunia Amerika Syarikat (2020) dan johan pertandingan lukisan bertema petugas hadapan Asia (2020).

Noorhashimah Mohamed Noordin, 61

Beliau juga menang tempat kedua pertandingan ‘Beautiful Malaysia’ selain juara Hari Kemerdekaan Malaysia ke-64 pada tahun ini selain ‘This is Pahang’ pada 2021.

Noorhashimah menjelaskan anak keempat daripada lima beradik menang banyak anugerah atas penghasilan karya yang dianggap unik dan memiliki gaya tersendiri.

“Dia melukis momen bersejarah berkait isu semasa, misalnya perubahan iklim, Covid-19, pencemaran laut dan keamanan dunia,” katanya.

Beliau menambah bakat Art Jamila dikesan seawal usia empat tahun dan mula berjinak-jinak melukis berdasarkan emosi dan pengalaman yang dilalui anaknya.

“Dari kecil, dia suka lukis emosi sendiri sama ada sedih atau gembira selain apa yang berlaku di rumah dan sekolah. Kalau guru mengajar pun dia akan lukis.

“Jadi kalau saya mahu tahu apa yang terjadi di sekolah, saya lihat lukisannya. Dia bercerita melalui lukisan sebab dia lebih selesa melukis daripada bertutur.

“Dia gemar melukis sambil menyanyi dan tidak suka diganggu. Kalau saya masuk ke biliknya ketika dia melukis, saya diminta keluar,” katanya yang mahu mewujudkan galeri khas untuk menempatkan semua karya anaknya itu.

 


Pengarang :