Orang ramai tidak melepaskan peluang mendapatkan barangan asas pada harga murah di Karnival Jualan Ehsan Aidiladha di Jalan GP2, Taman Gombak Permai pada 8 Julai 2022. Foto Facebook PKPS
AGENSISELANGOR

Pengunjung akui baloi berbelanja, cadang Putrajaya contohi Selangor

GOMBAK, 8 JULAI: Pengunjung mengakui berbaloi membeli barangan asas di jualan murah anjuran Perbadanan Kemajuan Pertanian Selangor (PKPS) kerana harga yang ditawarkan jauh lebih murah berbanding pasaran.

Peniaga makanan Siti Maimunah Mohd Pauzi, 52, yang kerap berbelanja besar untuk persiapan niaganya dapat berjimat ketika membeli di jualan murah di Taman Gombak Permai hari ini.

“Telur sepapan gred B dijual RM12 di sini. Kalau di pasaran harga itu dapat gred D. Ayam pula seekor selalu RM20 ke atas tetapi di sini kita hanya bayar RM15.

“Sangat berbaloi dan menjimatkan. Saya berharap program ini diteruskan dan jika boleh anjurkan setiap minggu,” katanya yang berniaga masakan pagi di Taman Laksamana, dekat sini.

Seorang pesara Ajeet Singh, 64, mencadangkan kerajaan persekutuan mencontohi inisiatif Kerajaan Selangor dengan melaksanakan jualan murah bagi meringankan beban rakyat susulan kenaikan harga barang.

“Saya hanya membayar RM60 untuk seekor ayam, dua papan telur, sepaket minyak masak dan beberapa barang lain.

“Jika beli di kedai mungkin harganya lebih RM100,” katanya yang turut mencadangkan lebih banyak barangan dijual dalam program berkenaan.

Sementara itu, warga emas Ah Lean, 66, berkata ini merupakan jualan murah PKPS kedua dia kunjungi setelah berpuas hati dengan harga dan kualiti barangan yang pernah dibelinya sebelum ini.

Terdahulu, jualan murah dilokasi berkenaan mendapat sambutan amat memberangsangkan apabila banyak barangan asas habis dijual dalam tempoh beberapa jam.

Program yang dijadualkan bermula jam 9 pagi juga terpaksa diawalkan memandangkan pengunjung sudah beratur sejak jam 7 pagi.

PKPS menawarkan ayam serendah RM15 seekor, telur ayam gred B (RM12 sepapan), minyak masak (RM2 sepaket), daging pejal (RM35 sekilogram) dan ikan sejuk beku (RM8 sepaket).

Ratusan orang ramai membanjiri Karnival Jualan Ehsan Aidiladha di Jalan GP2, Taman Gombak Permai pada 8 Julai 2022 bagi mendapatkan barangan asas sebagai persiapan menyambut Aidiladha. Foto SHEEDA FATHIL

Bermula di Sijangkang pada 5 Julai, karnival empat hari diteruskan di Bukit Beruntung dan Tanjung Sepat.

Selain jualan di sini, karnival sama turut berlangsung serentak di belakang Blok D dan E, Pangsapuri Inai, Pandan Indah.

 


Pengarang :