Suasana Jualan Prihatin Rakyat Aidiladha anjuran Perbadanan Kemajuan Pertanian Selangor (PKPS) di Taman Gombak Permai dan Pangsapuri Inai pada 8 Julai 2022. Foto Facebook PKPS
AGENDANASIONAL

Pengurus DUN cadang jualan murah dua kali sebulan setiap lokasi

GOMBAK, 8 JULAI: Jualan murah barangan asas perlu dianjurkan lebih kerap sekurang-kurangnya dua kali sebulan di satu-satu lokasi.

Pengurus Pusat Khidmat Dewan Undangan Negeri (DUN) Sungai Tua Maimon Misman berkata karnival itu tepat pada masanya dalam meringankan beban rakyat.

“Harga barang semakin meningkat sehingga membebankan masyarakat tetapi inisiatif Kerajaan Negeri dan Perbadanan Kemajuan Pertanian Selangor (PKPS) ini benar-benar memanfaatkan rakyat.

“Malah, ramai juga pengunjung yang hadir hari ini mencadangkan supaya lebih banyak barangan keperluan asas dijual pada masa akan datang,” katanya pada Karnival Jualan Ehsan di Taman Gombak Permai di sini hari ini.

Bermula di Sijangkang pada 5 Julai, karnival empat hari diteruskan di Bukit Beruntung dan Tanjung Sepat.

Karnival sama turut berlangsung serentak di belakang Blok D dan E, Pangsapuri Inai, Pandan Indah.

Pada 19 Mei lalu, Dato’ Menteri Besar Dato’ Seri Amirudin Shari memaklumkan program tersebut berjaya memanfaatkan seramai 60,000 keluarga di negeri ini.

Sejak Disember tahun lalu, jualan murah PKPS sudah berlangsung di 64 lokasi seluruh negeri bagi mengurangkan beban rakyat susulan kenaikan harga barang.


Pengarang :