Baja tinja ayam yang dilonggokkan di kawasan kebun pisang. Foto Facebook MPHS
PBT SELANGOR

Pengusaha kebun dapat notis, MPHS terima aduan bau busuk

SHAH ALAM, 5 JULAI: Majlis Perbandaran Hulu Selangor mengeluarkan notis kepada pemilik dan pengusaha kebun pisang susulan aduan masalah bau di Taman Bukit Raya 2, di Bukit Beruntung semalam.

Menurut MPHS, berdasarkan siasatan yang dijalankan pada jam 11 pagi semalam, pihaknya menemui 1,600 guni baja jenis tinja ayam yang dilonggokkan di kebun pisang berkenaan.

“Kebun pisang itu terletak kira-kira 10 meter dari kawasan perumahan dan Sekolah Kebangsaan Taman Bunga Raya 2 dan ia boleh menyebabkan ketidakselesaan kepada penduduk,” kata pihak berkuasa tempatan itu dalam kenyataan semalam.

MPHS berkata hasil pertemuan dengan pengusaha kebun, dimaklumkan bahawa baja itu digunakan untuk tanaman 600 pokok pisang di kawasan kebun seluas empat ekar.

“Pengusaha itu memaklumkan tanah tersebut disewa daripada pemaju manakala tinja ayam pula adalah yang dirawat serta dicampur dengan habuk kayu diperoleh daripada pembekal di Batang Kali.

“Hasil siasatan juga mendapati baja dilonggokkan di atas zon pengangkutan dan kemudahan masyarakat iaitu pendidikan, manakala kebun adalah dalam zon kegunaan kerajaan,” katanya.

Susulan itu, MPHS berkata Notis Menghendaki Kacau Ganggu Dihapuskan (Akta Kerajaan Tempatan 1976) bertempoh 7 hari dikeluarkan kepada pengusaha kebun dan pemaju.

Selain itu, laporan turut dibuat kepada Jabatan Pertanian dan Pejabat Daerah dan Tanah Hulu Selangor untuk tindakan selanjutnya.


Pengarang :