Pelanggan menikmati pelbagai juadah terutama ayam golek disajikan restoran Ana Corner di Kampung Tengah, Puchong pada 9 Disember 2021. Foto HAFIZ OTHMAN/SELANGORKINI
AGENDANASIONAL

Pengusaha makanan di kampus terima moratorium sewa enam bulan

PUTRAJAYA, 4 JULAI: Moratorium bayaran sewa selama enam bulan akan diberikan kepada pengusaha dan penyedia perkhidmatan makanan di dalam kampus institusi pengajian tinggi (IPT) awam mulai bulan ini, kata Menteri Pengajian Tinggi Datuk Seri Dr Noraini Ahmad.

Beliau dalam satu kenyataan hari ini berkata langkah itu akan membolehkan tanggungan kos sewa itu diserap bagi menurunkan harga makanan yang dijual kepada pelajar memandangkan peningkatan harga barangan turut memberi kesan kepada harga makanan di dalam kampus.

Noraini turut mengumumkan menu makanan berkualiti dengan harga siling RM3.50 setiap hidangan akan diperkenalkan di bawah inisiatif Food Basket Siswa Keluarga Malaysia, selaras dengan pengumuman yang dibuat Perdana Menteri Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob.

Ismail Sabri dalam satu kenyataan hari ini berkata kerajaan akan memperkenalkan “Menu Keluarga Malaysia” di restoran koperasi, kafeteria serta premis jualan makanan di IPT sebagai alternatif bagi golongan sasar mendapatkan hidangan pada harga berpatutan, membabitkan hidangan pagi, tengah hari dan malam.

Noraini berkata Kementerian Pengajian Tinggi (KPT) juga akan memperkasa inisiatif Food Bank Siswa dan Food@Campus di IPT dengan kerjasama pelbagai kementerian, badan bukan kerajaan (NGO), syarikat korporat dan badan-badan persendirian.

Noraini berkata kementerian juga bersetuju dengan cadangan Majlis Perundingan Pelajar Kebangsaan untuk membentuk Jawatankuasa Tindakan Sara Hidup Siswa Keluarga Malaysia yang dipengerusikan olehnya selaku Menteri Pengajian Tinggi.

Jawatankuasa itu adalah untuk menyelaras dan melaksana dasar, memantau kawalan harga barang dan perkhidmatan serta membentuk jaringan kolaborasi dengan pihak berkepentingan secara holistik, katanya.

Jawatankuasa itu turut disokong di peringkat institusi, melalui jawatankuasa yang dipengerusikan oleh naib canselor, rektor atau pengarah bagi memperkemas pelaksanaan ke atas keputusan dasar yang dibuat di peringkat kementerian, katanya.

“Pihak KPT sentiasa prihatin dan cakna terhadap kebajikan pelajar di IPT bagi memastikan sesi pembelajaran dan pengajaran sepanjang pengajian mereka berjalan dengan lancar,” katanya.

Noraini berkata kemudahan pengangkutan pelajar dalam dan ke luar kampus akan turut ditambah baik melalui penyediaan jadual pergerakan yang lebih kerap agar memudahkan dan menjimatkan masa perjalanan aktiviti harian pelajar.

-BERNAMA

 


Pengarang :