Setiausaha politik Dato’ Menteri Besar Juwairiya Zulkifli meninjau gerai pameran usahawan sempena program jelajah usahawan digital Selangor siri 3 anjuran Perbadanan Teknologi Maklumat dan Ekonomi Digital Selangor (Sidec) di Dewan Sivik Majlis Bandaraya Petaling Jaya (MBPJ), Petaling Jaya pada 16 Julai 2022. Foto REMY ARIFIN/SELANGORKINI
ADNSELANGOR

Peniaga IKS disaran manfaat jelajah usahawan, bantu tingkat jualan

PETALING JAYA, 16 JULAI: Usahawan industri kecil dan sederhana (IKS) negeri ini disaran memanfaatkan program Jelajah Usahawan Digital Selangor bagi meningkatkan prestasi jualan.

Setiausaha politik Dato’ Menteri Besar Juwairiya Zulkifli berkata program berkenaan memberi pendedahan kepada peserta mengenai strategi menjana pendapatan tambahan melalui perniagaan dalam talian.

“Usahawan IKS perlu ambil peluang inisiatif ini dengan menggunakan teknologi terkini dalam perniagaan dengan pendekatan mempromosi, penjualan dan pemasaran ke arah digitalisasi.

“Setakat ini, menerusi dua siri jelajah di Gombak dan Batang Kali hampir 500 peserta terlibat. Ini menunjukkan usahawan kita mahu menambah pendapatan dan meningkatkan prestasi perniagaan,” katanya.

Beliau ditemui selepas merasmikan program jelajah usahawan digital Selangor siri 3 anjuran Perbadanan Teknologi Maklumat dan Ekonomi Digital Selangor (Sidec) di Dewan Sivik Majlis Bandaraya Petaling Jaya (MBPJ), Petaling Jaya hari ini.

Jelajah Usahawan Digital Selangor 2022 siri satu bermula di Gombak Mac lalu disertai sembilan rakan kerja iaitu PG Mall, EasyStore, Dropee, Lazada, J&T, Yayasan Hijrah Selangor, SELDEC, SSM dan Shopee.

Sidec juga giat merealisasikan beberapa inisiatif utama seperti program Kelas E-Dagang, Kempen E-Bazar, Geran Padanan Digitalisasi PKS Selangor dan Selangor Accelerator Programme.


Pengarang :