Pekerja syarikat pembekal dan pembungkusan minyak masak paket Golden Palm Oil Industries Sdn Bhd menunjukkan minyak paket di dalam kotak untuk bekalan kepada para pengguna di kilang itu di Bandar Tun Razak, Kuala Lumpur pada 5 Julai 2022. Foto BERNAMA
AGENDA NASIONAL

Peniaga kedai runcit berdepan denda RM1 juta jual minyak RM3.50 sepaket

MELAKA, 18 JULAI: Seorang peniaga kedai runcit berdepan denda sehingga RM1 juta selepas dikesan menjual minyak masak paket bersubsidi RM3.50 sebungkus berbanding harga asal RM2.50.

Pengarah Pejabat Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP) Melaka Norena Jaafar berkata dalam serbuan pada kira-kira 11 pagi tadi, peniaga berusia lingkungan 40-an itu turut dikesan memberi keutamaan kepada peniaga makanan membeli minyak paket tersebut berbanding pengguna lain.

Beliau berkata justeru, tindakan ke atas peniaga itu akan diambil mengikut Seksyen 22 Akta Kawalan Bekalan 1961 yang memperuntuk hukuman maksimum denda RM1 juta atau penjara tiga tahun bagi individu manakala bagi pertubuhan atau perbadanan, denda maksimum ialah RM 2 juta.

“Ketika serbuan dilakukan, seorang pegawai KPDNHEP kita menyamar sebagai pelanggan dengan berpakaian preman untuk membeli minyak masak paket tersebut dan ketika itu, minyak berkenaan tinggal sepaket sahaja.

“Minyak itu dijual pada harga RM3.50 sebungkus sedangkan harga yang ditetapkan kerajaan ialah RM2.50 sebungkus dan hanya boleh dijual kepada pengguna biasa bukannya kepada peniaga makanan,” menurutnya dalam kenyataan hari ini.

Norena juga berkata premis itu antara 14 kedai runcit yang diserbu bagi memastikan bekalan minyak masak bersubsidi sentiasa mencukupi dan dijual pada harga ditetapkan menerusi kaedah penyamaran.

Serbuan itu dilakukan susulan aduan dan maklum balas pengguna di media sosial KPDNHEP berhubung kesukaran mendapatkan bekalan minyak masak paket sekilogram di kawasan mereka.

Beliau berkata setiap pengguna hanya dibenarkan membeli tiga paket minyak itu dan peniaga atau peruncit perlu memastikan had yang ditetapkan tidak dilanggar.

“Pendekatan ini akan diteruskan di seluruh Melaka bagi memastikan setiap isi rumah mampu mendapatkan minyak masak bersubsidi itu.

“Pemborong serta peruncit yang menjual barang kawalan hendaklah sentiasa mematuhi arahan pengawal bekalan yang telah dikeluarkan atau berdepan tindakan tegas sekiranya gagal mematuhi peraturan yang dikuatkuasakan,” katanya.

Orang awam yang mempunyai maklumat atau aduan boleh berbuat demikian dengan menghubungi talian am KPDNHEP Melaka (06-234 5822), e-mel ([email protected]), WhatsApp (019-279 4317) atau hadir ke Pejabat KPDNHEP di Ayer Keroh.

-BERNAMA


Pengarang :