EXCO Perumahan Rodziah Ismail menyampaikan sumbangan tilam dan bantal kepada mangsa banjir ketika Misi Selangor Penyayang 2.0 di Surau An Nur Taman Mesra Kupang, Baling, Kedah pada 21 Julai 2022. Foto FIKRI YUSOF/SELANGORKINI
AGENDANASIONAL

Peniaga tidak sempat siapkan tempahan kek pelanggan akibat banjir

BALING, 23 JULAI: Seorang peniaga mengakui tidak sempat menyiapkan tempahan kek gula hangus pelanggan ekoran rumahnya di Taman Mesra Ria, Kupang di sini dinaiki air dalam bencana banjir awal bulan ini.

Junaidah Othman, 50, berkata pada petang hari kejadian, dia sedang mengukus empat biji kek gula hangus sebelum menyedari air melimpah ke segenap rumah secara tiba-tiba susulan hujan lebat.

Katanya, situasi cemas itu menyebabkan ketuhar dan mesin adunan termasuk perabot rumah tidak sempat dialihkan sehingga mengalami kerugian sekitar RM6,000.

“Petang itu memang hujan lebat tetapi saya tidak syak pun banjir seteruk itu boleh berlaku memandangkan sebelum ini kalau lebat sekalipun air naik atas jalan depan rumah sahaja.

“Ketika itu saya sedang siapkan tempahan pelanggan, empat biji kek dalam ketuhar manakala tiga biji lagi sedang diadun. Sementara menunggu siap dibakar, saya menunaikan solat Maghrib.

“Sebaik selesai solat, saya terkejut melihat alatan tersebut sudah jatuh akibat dihempap peti ais yang ditenggelami air dan menyebabkan semua kek rosak,” katanya yang mengusahakan perniagaan itu sejak 12 tahun lalu.

Junaidah ditemui selepas menerima bantuan Misi Selangor Penyayang 2.0 berbentuk wang tunai RM100, tilam, bantal dan selimut yang disampaikan EXCO Perumahan Rodziah Ismail di Surau An Nur di sini, kelmarin.

Dalam pada itu, ibu lima anak berkenaan berterima kasih kepada Kerajaan Selangor yang tampil menghulurkan sumbangan kepada penduduk terjejas bagi meringankan beban mereka.

“Alhamdulillah bantuan ini amat membantu terutama bantal dan tilam memandangkan ketika ini kami sekeluarga tidur hanya beralaskan lantai,” katanya.

Seorang lagi mangsa dari Kampung Raja, Muhammad Taufiq Razman, 29, memaklumkan insiden terbabit menyebabkan hampir 100 ekor ikan laga yang dipeliharanya sejak dua tahun lalu mati akibat dibawa arus deras.

Anak sulung daripada empat beradikitu berkata ia disedari sebaik tiba di rumah selepas memindahkan ibu dan datuknya ke sebuah lagi kediaman mereka yang terletak di daerah sama.

“Semua ikan tersebut daripada baka induk Avatar dan harga di pasaran mahal. Jadi saya agak terkilan memandangkan ini adalah hobi saya ketika perintah kawalan pergerakan (PKP).

“Kalau mahu mula balik hobi ini memang ambil masa, apatah lagi baka induk itu agak sukar dicari,” katanya.

Sementara itu, Muhammad Taufiq menghargai jasa Kerajaan Selangor kerana turun padang membantu rakyat di daerah ini yang terkesan susulan musibah berkenaan.

“Saya rasa sangat terharu sekali gus membuktikan Kerajaan Selangor cakna dengan kesusahan rakyat negeri lain.

“Ini menunjukkan kita rakyat serumpun, saling bantu-membantu kerana Kedah turut menghantar misi bantuan sama ketika negeri itu dilanda banjir tahun lepas,” katanya.

Hujan lebat hampir tiga jam di Baling pada 4 Julai lalu menyebabkan paras air Sungai Kupang melimpah memasuki kediaman penduduk berdekatan dan mengorbankan tiga individu termasuk wanita hamil.


Pengarang :