Seramai 380 orang bakal jemaah Haji terkandas di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) selepas ditipu oleh sebuah agensi pelancongan. Foto BERNAMA
AGENDAJENAYAH

Penipuan haji: Polis terima 72 laporan babit kerugian hampir RM4 juta

KUALA LUMPUR, 12 JULAI: Polis Diraja Malaysia (PDRM) menerima sebanyak 72 laporan polis berhubung kes penipuan pakej menunaikan ibadah haji di seluruh negara membabitkan tiga agensi pelancongan swasta dengan kerugian RM3.95 juta.

Setiausaha Polis Malaysia (SUPM), Datuk Noorsiah Mohd Saaduddin berkata Kuala Lumpur mencatatkan bilangan tertinggi iaitu sebanyak 24 laporan membabitkan kerugian berjumlah RM1,244,500 diikuti Selangor dengan 14 laporan melibatkan kerugian RM404,000.

“Pahang pula merekodkan 13 laporan dengan nilai kerugian RM1,611,500 manakala Kelantan, Johor dan Perak masing-masing mempunyai lima laporan dengan nilai keseluruhan RM556,000,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Beliau berkata Kedah mempunyai tiga laporan dengan nilai kerugian RM48,000 sementara Terengganu, Pulau Pinang dan Negeri Sembilan masing-masing merekodkan satu laporan dengan jumlah keseluruhan mencecah RM86,000.

Khamis lepas, kira-kira 380 bakal jemaah haji dilaporkan terkandas di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) dipercayai menjadi mangsa penipuan sebuah agensi pelancongan swasta.

Mereka dipercayai menggunakan visa furada, iaitu visa yang diuruskan sendiri tanpa membabitkan jumlah kuota yang diperoleh Lembaga Tabung Haji (TH).

– BERNAMA


Pengarang :