Majlis Perbandaran Hulu Selangor (MPHS) menyita sebuah jentera berat di kawasan perumahan padang tembak, Kuala Kubu Bharu pada 20 Julai lalu. Foto MPHS
PBTSELANGOR

Penyewa tanah ingkar notis henti kerja, MPHS sita jentera berat

SHAH ALAM, 23 JULAI: Majlis Perbandaran Hulu Selangor (MPHS) bertindak menyita sebuah jentera berat jenis Mitsubishi 180 di kawasan perumahan padang tembak, Kuala Kubu Bharu pada 20 Julai lalu.

Yang Dipertuanya Mohd Hasry Nor Mohd berkata tindakan itu dibuat selepas mendapati penyewa tanah ingkar dengan arahan MPHS supaya menghentikan kerja tanah tanpa kebenaran.

“Pada 7 Julai lalu, kita pernah mengenakan kompaun terhadap suspek mengikut Seksyen 70(A), Akta Jalan, Parit dan Bangunan 1974 (akta 133) dan turut mengarahkan kerja pembersihan itu dihentikan segera melalui notis bertarikh 13 Julai.

“Namun, kita dapati suspek masih berdegil dan tetap meneruskan kerja tersebut terutama selepas waktu bekerja iaitu jam 5 petang hingga lewat malam,” katanya menerusi kenyataan.

Menurutnya, ketika operasi sekitar jam 6 petang itu pihaknya mendapati pemandu jentera berat itu sedang mengalihkan kenderaan terbabit apabila menyedari kehadiran penguat kuasa MPHS.

“Bagaimanapun, usaha pemandu tersebut gagal dan anggota penguatkuasa bertindak pantas menyita serta membawa jentera berat tersebut ke depoh tahanan mengikut Seksyen 70(A)(11), Akta Jalan, Parit dan Bangunan 1974 (akta 133),” katanya.


Pengarang :