Ketua Pegawai Eksekutif Perbadanan Teknologi Maklumat dan Ekonomi Digital Selangor (Sidec) Yong Kai Ping (tengah) dan Yang Dipertua Pertubuhan Kebajikan dan Amal Wanita Selangor (Pekawanis) Datin Seri Masdiana Muhamad (lapan, kanan) bergambar bersama 16 peserta terpilih menyertai program Pemecut Fesyen Selangor di Hilton Hotel I-City, Shah Alam pada 29 Julai 2022. Foto REMY ARIFIN/SELANGORKINI
AGENDANASIONAL

Pereka fesyen muda sambut baik program asah bakat, peluang kembang jenama

SHAH ALAM, 30 JULAI: Usahawan terpilih menyertai program Pemecut Fesyen Selangor enggan mensia-siakan peluang mencari prospek pelaburan bagi melebarkan sayap jenama ke peringkat global.

Pemilik jenama S. LEAPITA Syazwani Izzati Hashim, 34, mahu memulihkan semula perniagaan fesyen pakaian sopan atau sederhana yang diusahakan sejak lima tahun lalu selepas mengalami penyusutan 50 peratus sepanjang Perintah Kawalan Pergerakan (PKP).

Pemilik jenama S. LEAPITA Syazwani Izzati Hashim

“Saya bersama rakan kongsi memerlukan modal dan pelaburan untuk kembangkan perniagaan kerana kami percaya boleh buat lebih baik daripada sekarang selepas berdepan tempoh mencabar.

“Jadi, apabila dipilih menyertai program di bawah Perbadanan Teknologi Maklumat dan Ekonomi Digital Selangor (Sidec) ini, saya berpeluang belajar banyak perkara terutama membabitkan kewangan, pemasaran serta identiti jenama,” katanya.

Bagi pemilik jenama POYA Light Katrina Khairudin, 35, yang baru dua tahun terlibat dalam industri, program tersebut memberi peluang kepada dirinya menimba sebanyak mungkin pengalaman serta bertukar pandangan dengan peserta lain.

“Sejujurnya niat saya adalah untuk belajar dan cari pengalaman supaya boleh jadi lebih matang, apatah lagi belum arif dengan liku perniagaan walaupun dibesarkan dalam keluarga yang menjalankan perniagaan fesyen.

Pemilik jenama POYA Light, Katrina Khairudin

“Saya gembira terpilih dan menjadi satu bonus sekiranya berada dalam kelompok enam terbaik untuk membentangkan idea kepada pelabur pada Hari Demo nanti,” katanya yang kini mempunyai lebih 20 koleksi fesyen pakaian sederhana.

Mereka antara 16 syarikat pemula dipilih menjalani modul kemahiran asas pitching, kesesuaian pasaran produk, identiti jenama, inovasi tekstil, sesi perkongsian dalam pengumpulan dana dan harta intelek (IP) mulai 1 Ogos hingga 23 September.

Kesemua peserta terbabit dinilai juri antaranya penyanyi nombor satu negara Datuk Seri Siti Nurhaliza dan beberapa pereka fesyen seperti Melinda Looi, Rasta Rashid, Leslie Variyan dan Wong Lee Leng.

Juri lain termasuk Ketua Pegawai Eksekutif Permodalan Negeri Selangor Berhad Raja Ahmad Shahrir Iskandar Raja Salim dan Pengarah Urusan The Hive Southeast Asia Dato’ Syed Haizam Hishamuddin Putra Jamalullail.

Program Pemecut Fesyen Selangor juga antara langkah Kerajaan Negeri bagi mengembangkan industri fesyen negara.


Pengarang :