Orang ramai hadir melihat peluang kerjaya semasa Jelajah Selangor Bekerja 2021 di Dewan Jubli Perak Bangunan Sultan Salahuddin Abdul Aziz Shah, Shah Alam pada 23 Oktober 2021. Foto AHMAD ZAKKI JILAN/SELANGORKINI
AGENSISELANGOR

Perluas Selangor Kerjaya, Selangor Freelance, atasi isu kurang tenaga kerja

SHAH ALAM, 27 JULAI: Program Selangor Kerjaya dan Program Selangor Freelance terus diperluas bagi memastikan lebih ramai rakyat mendapat pekerjaan bersesuaian sekali gus mengatasi kekurangan tenaga kerja.

Dato’ Menteri Besar Dato’ Seri Amirudin Shari berkata keputusan itu diambil susulan kejayaan program padanan kerja anjuran Menteri Besar Selangor (Pemerbadanan) atau MBI dan Permodalan Negeri Selangor Berhad (PNSB).

“Seramai 25,747 orang tenaga kerja telah berdaftar dengan Selangor Kerjaya manakala 10,708 peserta telah memanfaatkan kemudahan ujian ‘profiling’ yang disediakan Selangor Kerjaya sehingga 30 Jun lalu.

“Manakala untuk program Selangor Freelance pula seramai 12,381 orang telah mendaftar iaitu 9,578 telah disahkan menepati kriteria yang diperlukan bagi tempoh sama,” katanya ketika membentang Rancangan Selangor Pertama (RS-1) dalam sidang Dewan Negeri Selangor (DNS) hari ini.

Januari tahun lalu, Amirudin melancarkan Selangor Kerjaya dan Selangor Freelance yang merupakan program pengurusan bakat dan tenaga kerja.

Selangor Kerjaya akan dilaksana hingga Disember 2023 dan bakal menempatkan 10,000 tenaga kerja menerusi pelaksanaan sistem profil, padanan kerja sesuai (job matching) dan latihan peningkatan kemahiran (upskilling) bagi jangka masa pendek.

Bagi tempoh masa panjang pula, MBI mahu membina pangkalan data bagi pembangunan insan negeri, memenuhi permintaan kemahiran dan laluan kerjaya bagi peluang pekerjaan abad ke-21 melalui peningkatan kemahiran serta latihan semula (reskilling).

Manakala, Selangor Freelance bakal mencipta lebih 1,000 peluang pekerjaan dan membantu golongan terjejas berikutan pandemik Covid-19 dengan peruntukan sebanyak RM10 juta.

 


Pengarang :