MK mendaki tangga populariti bersama kumpulan hip hop K-Clique. Foto MK K-CLIQUE
BERITA UTAMAPERSONALITIRENCANA

Pernah kerja tarik kereta, MK K-Clique tidak lupa zaman susah

Oleh INTAN SYUHADA AKHIR

MK daripada kumpulan muzik hip hop K-Clique tidak pernah berasa malu dirinya dahulu bekerja sebagai penarik kereta sebelum terkenal sebagai penyanyi dan pelakon.

Sebaliknya, pemilik nama sebenar Muhammad Hairi Amin Hamdan itu sentiasa bersyukur kerana melalui fasa hidup susah tatkala baru selesai menamatkan pengajian di Universiti Teknologi Mara (UiTM) Sabah pada 2019. Dalam tempoh itu juga, kerjaya muziknya masih bertatih.

Padanya, kerja sebagai penarik kereta itu sesuai dengan jiwa yang meminati kenderaan empat roda. Malah beliau mengimpikan mahu memiliki kereta idamannya sendiri.

“Dulu saya pernah hidup susah, bekerja tarik kereta dengan kawan-kawan. Ketika itu saya berumur 23 tahun dan baru menyudahkan diploma. Memang sukar mendapatkan pekerjaan. Saya bekerja tarik kereta selama dua tahun sementara menunggu tawaran kerja yang lebih baik.

“Saya sangat meminati kereta. Cuma itulah, minat saya ini memerlukan kos yang banyak untuk proses ubah suai dan sebagainya. Kereta pertama saya ialah Honda. Bila ada duit saya akan ubah suai sikit demi sikit mengikut kemampuan,” katanya.

Minat Lamborghini

Pelakon drama Oh My Hantaran itu turut gemar mengumpul gambar kereta idaman. Tanpa berselindung, MK mendambakan kereta mewah jenama Lamborghini atau Range Rover.

“Insya-Allah suatu hari nanti kalau ada rezeki. Apapun, sekarang saya sangat bersyukur dengan apa yang ada. Saya boleh dikatakan hidup lebih selesa namun saya sentiasa beringat di mana asal saya bermula,” katanya kepada Selangorkini baru-baru ini.

K-Clique adalah kumpulan hip hop yang tidak asing lagi. Dianggotai lapan jejaka dari Negeri di Bawah Bayu, mereka mencuri tumpuan apabila lagu bertajuk ‘Mimpi’ nyanyian bersama-sama Alif yang dilancarkan pada 2019 tular di media sosial.

MK menyifatkan peralihan perjalanan kerjaya dilalui mematangkannya sebagai seorang penghibur. Foto MK K-CLIQUE

Langkah kanan K-Clique berterusan apabila menembusi carta radio terkemuka negara, mendaki tangga populariti sehingga menjadi buah mulut anak muda masa kini.

Lapan ahlinya terdiri daripada Noki, Tuju, SoMean, KDeaf, FareedPF, Gnello dan NastyNad. MK adalah yang paling terkenal dengan jumlah pengikut mencecah lebih daripada sejuta di Instagram.

“Saya tidak pernah merasakan bahawa saya adalah tunjang utama atau yang paling menonjol dalam kumpulan K-Clique. Ia cuma pandangan orang ramai.

“Secara peribadi, saya akan lakukan apa sahaja perkara yang boleh membuatkan orang mengingati K-Clique. Sebab itu nama saya tidak pernah berubah iaitu MK K-Clique. Tak kiralah saya terbang atau berlari sekalipun, saya tetap akan membawa nama K-Clique,” katanya.

Jutaan tontonan

Calon Anugerah Muzik Eropah MTV 2020 ini banyak mencerap peristiwa daripada pengalaman hidupnya untuk mendapatkan ilham bagi menghasilkan sesuatu karya.

“Membaca penting untuk menambah kosa kata dan bahasa yang digunakan. Namun apa yang lebih penting untuk menghasilkan lirik ialah pengalaman, tak kiralah daripada saya atau kawan-kawan. Ia sebuah ekspresi daripada tiga perkara iaitu sebelum (pengalaman lalu), sekarang (apa yang kita lalui) dan masa depan iaitu perkara yang mungkin kita harapkan terjadi nanti,” katanya.

MK pernah menghasilkan lirik bersama beberapa komposer ternama tanah air dan antarabangsa seperti Joe Flizzow, Jay Park, Wolfy, Kidd Santhe dan Tuju. Antaranya Pulang, Haa Tepok, CIAO, IMSO, VETO dan Mimpi yang meraih jutaan tontonan di beberapa platform media sosial.

MK menyifatkan peralihan perjalanan kerjaya muziknya bermula daripada muzik bawah tanah (underground) ke pentas arus perdana banyak mematangkannya sebagai seorang penghibur.

“Kalau underground dulu, mungkin kurang pendedahan dan orang mungkin tidaklah mengenali kita. Kita juga lebih bebas untuk lakukan apa sahaja tanpa sekatan atau halangan tertentu.

“Tapi bila sudah masuk ke arus perdana, kita lebih dikenali dan bekerja dengan lebih banyak pihak seperti radio, syarikat pengurusan dan mana-mana syarikat yang melantik saya sebagai duta. Ia sudah tentunya berbeza. Kita lebih berhati-hati dalam setiap karya yang dihasilkan,” katanya.


Pengarang :