Pesawah menanam padi di Sungai Leman, Sekinchan. Foto ARKIB SELANGORKINI
AGENDA NASIONAL

Pertanian moden di Sabak Bernam tuai hasil RM248 juta setahun

SHAH ALAM, 27 JULAI: Membangunkan tanaman bernilai tinggi menggunakan teknologi antara strategi Kerajaan Negeri bawah inisiatif Pembangunan Kawasan Sabak Bernam (SABDA).

Menurut Dato’ Menteri Besar Dato’ Seri Amirudin Shari, pembangunan berkeluasan 1,317 hektar dengan nilai pelaburan RM1.9 bilion dianggar memberi pulangan hasil RM248 juta setahun.

Beliau menjelaskan usaha merangsang ekonomi di daerah itu juga mampu mewujudkan 3,600 peluang pekerjaan kepada rakyat tempatan.

“Di Selangor, sektor pertanian berkembang pada kadar tiga peratus setahun dari 2015 hingga 2020 dan terus berkembang meskipun dalam keadaan pandemik Covid-19.

“Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) sektor pertanian Selangor mencatat peningkatan marginal kepada RM4.72 bilion pada 2020 berbanding RM4.71 bilion pada 2019,” katanya pada sidang Dewan Negeri.

Bercakap ketika membentangkan Rancangan Selangor Pertama (RS-1) hari ini, Amirudin berkata sektor pertanian negeri menerima dana khusus dalam Belanjawan Selangor 2021.

Jelasnya, usaha termasuk menghasilkan tanaman bernilai tinggi menggunakan internet segalanya dengan peruntukan RM26.4 juta selain Program Pemecut Selangor bagi pembangunan industri agroteknologi.

 


Pengarang :