Ahli Majlis Penasihat Kesihatan Awam, Datuk Seri Dr Dzulkefly Ahmad (tengah) bercakap ketika bual bicara Kesihatan Berkualiti, Rakyat Terbela sempena Jelajah Selangor Penyayang di Stadium Utama Kuala Selangor pada 2 Julai 2022. Foto FIKRI YUSOF/SELANGORKINI
AGENDANASIONAL

Peruntukan kesihatan perlu ditingkat elak tertinggal teknologi rawatan

KUALA SELANGOR, 3 JULAI: Peruntukan untuk kesihatan perlu ditingkatkan bagi memastikan Malaysia tidak ketinggalan dalam aspek teknologi kaedah rawatan.

Ahli Majlis Penasihat Kesihatan Awam berkata ketika ini peruntukan untuk sektor itu hanyalah sekitar dua peratus daripada hasil Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK).

“Kita sewajarnya membelanjakan tidak kurang lima paratus dari KDNK dalam sektor kesihatan, tuan-tuan tahu sekarang kita belanja berapa? kurang dua peratus.

“Pada awal 2019 saya (ketika menjadi menteri kesihatan) minta pada kerajaan Pakatan Harapan lima peratus atau empat peratus daripada KDNK untuk sektor kesihatan kerana melihat kepentingan ini,” kata Datuk Seri Dr Dzulkefly Ahmad.

Beliau berkata demikian pada bual bicara sempena Jelajah Selangor Penyayang edisi Kuala Selangor dengan topik Kesihatan Berkualiti, Rakyat Terbela di perkarangan Stadium Kuala Selangor semalam.

Dzulkefly berkata sebelum ini Malaysia diiktiraf Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) mempunyai sektor kesihatan terbaik dalam tempoh 30 tahun, namun lonjakan kecemerlangan sebelum itu terhenti selepas 2000.

“Negara diakui mempunyai sistem kesihatan yang baik dalam kurun yang lalu, dijadikan ukuran dalam beberapa perkara tertentu antaranya kematian bayi selepas bersalin daripada 60 kematian dari 1,000 kelahiran menurun kepada 12 kematian.

“Ini menujukkan progres yang baik. Ukuran kematian bagi ibu yang bersalin pula dari 100,000 kelahiran, hampir 150 meninggal dunia dan angka itu menurun kepada 40 kematian,” katanya.

Beliau berkata dalam tempoh 1970 hingga 2000 itu menunjukkan negara mempunyai sektor kesihatan yang maju, namun selepas itu ia ditahap mendatar.


Pengarang :