Pengusaha ladang nanas MD2, Mohd Noorhardy Mohd Noorzain (dua, kanan) memberikan cenderahati kepada Pengerusi Majlis Agama Islam Selangor (MAIS) Tan Sri Abdul Aziz Mohd Yusof (dua, kiri) yang mengetuai delegasi melawat ladang berkenaan di Kampung Sungai Merab, Kajang pada 16 Jun 2022. Foto PERBADANAN WAKAF SELANGOR
AGENSISELANGOR

Petani muda sewa tanah wakaf, tanam nanas MD2 secara komersial

SHAH ALAM, 13 JULAI: Seorang petani muda berjaya mengusahakan tanaman nanas MD2 atas tanah wakaf yang disewa dari Perbadanan Wakaf Selangor (PWS) seluas 6.2 ekar di Kampung Sungai Merab, Kajang.

Setelah lebih dua tahun mengusahakannya, Mohd Noorhardy Mohd Noorzain, 42, yang sudah beberapa kali memetik hasil mampu menjual antara satu hingga dua metrik tan seminggu.

Beliau juga mempunyai gerai jualan nanas segar dan jus nanas di pintu masuk Restoran Itik Salai Mashtar Sungai Merab bagi meraih pendapatan tambahan.

“Apabila saya mengusahakan tanah wakaf ini, pihak yang berwakaf juga dapat merasai keberkatannya, walaupun mungkin pewakaf telah meninggal dunia dan saya tidak pernah berjumpa dengannya,” katanya baru-baru ini.

Bercerita permulaan membangunkan ladang berkenaan, Mohd Noorhardy berkata pada awalnya sukar mencari tapak sebelum bertemu PWS yang kebetulan mempunyai tanah wakaf untuk disewakan.

“Kebetulan yang tidak dirancang, tanah wakaf ini amat bersesuaian dengan keperluan mineral yang diperlukan bagi penanaman nanas MD2.

“Tanah seluas hampir 6.2 ekar ini disewa dan dimajukan dengan penuh kesungguhan. Dan hari ini, ladang nanas ini telah membuahkan hasil,” katanya yang kebiasaannya memetik hasil sekitar 140 hari selepas pokok dihormon.

Pengusaha ladang nanas MD2, Mohd Noorhardy Mohd Noorzain (kanan) membawa delegasi Majlis Agama Islam Selangor yang diketuai Pengerusinya Tan Sri Abdul Aziz Mohd Yusof (kiri) melawat ladang yang diusahakan atas tanah wakaf di Kampung Sungai Merab, Kajang pada 16 Jun 2022. Foto PERBADANAN WAKAF SELANGOR

Pada 16 Jun, delegasi Majlis Agama Islam Selangor yang diketuai Pengerusinya Tan Sri Abdul Aziz Mohd Yusof melawat ladang berkenaan selain menikmati nanas goreng cicah sambal kicap, nasi goreng nanas, aiskrim dan kek nanas.

Lokasinya yang berada di atas bukit dengan pemandangan landskap indah menjanjikan pengalaman mengujakan buat pengunjung khususnya peminat nanas untuk mendapatkan buah segar dari ladang.


Pengarang :