AGENDASUKANKINI

Piala Asia 2023: Empat negara tawar diri ganti China

KUALA LUMPUR, 19 JULAI: Konfederasi Bola Sepak Asia (AFC) mengesahkan Australia, Indonesia, Korea Selatan dan Qatar telah mengemukakan tawaran untuk menggantikan China sebagai tuan rumah Piala Asia 2023.

Pada Mei tahun ini, Persatuan Bola Sepak China (CFA) mengumumkan penarikan diri daripada menjadi tuan rumah Piala Asia 2023 berikutan pandemik Covid-19.

Tarikh tamat asal untuk menghantar bidaan menjadi tuan rumah Piala Asia 2023 berakhir hujung bulan lepas tetapi ia dilanjutkan hingga 15 Julai.

AFC yang merupakan badan pentadbir bola sepak Asia berkata dalam satu kenyataan semalam, Jawatankuasa Eksekutifnya akan mengumumkan tuan rumah kepada pertandingan 24 pasukan itu pada 17 Oktober depan.

Malaysia merupakan antara 24 pasukan yang layak ke Piala Asia 2023.

Pada 14 Jun lepas, skuad negara di bawah bimbingan Ketua Jurulatih Kim Pan Gon menamatkan penantian 42 tahun Malaysia untuk layak ke Piala Asia secara merit selepas menduduki tempat kedua Kumpulan E dalam Kelayakan Piala Asia 2023 dan mara sebagai satu daripada lima pasukan teratas daripada enam kumpulan.

Dalam aksi kelayakan yang berlangsung di Stadium Nasional Bukit Jalil, Malaysia bermula dengan langkah kanan dengan menewaskan Turkmenistan 3-1 sebelum tewas kepada Bahrain 1-2 dan membenam Bangladesh 4-1 dalam perlawanan terakhir.

Untuk rekod, kali terakhir Malaysia beraksi di dalam Piala Asia ialah ketika menjadi tuan rumah bersama pada 2007 tetapi kali terakhir negara layak secara merit ialah pada edisi 1980 di Kuwait.

– BERNAMA

 


Pengarang :