Timbalan Presiden Parti Keadilan Rakyat (KEADILAN) Rafizi Ramli menyampaikan ucapan pengulunggan sempena Kongres Nasional ke-16 KEADILAN di Ideal Convention Centre, Shah Alam pada 17 Julai 2022. Foto HAFIZ OTHMAN/SELANGORKINI
AGENDANASIONAL

Pimpinan baharu perlu kembalikan keyakinan rakyat

SHAH ALAM, 17 JULAI: Pimpinan baharu Parti Keadilan Rakyat (KEADILAN) menggalas tanggungjawab besar bagi mengambalikan keyakinan rakyat dalam persediaan menghadapi Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU).

Timbalan Presidennya Rafizi Ramli berkata generasi muda perlu didekati supaya golongan itu yakin KEADILAN adalah parti yang mampu mengubah masa depan mereka menjadi lebih baik.

“Cabaran parti bukan sekadar mahu membuktikan Umno buruk sahaja, tetapi berdepan dengan anak muda yang terkesan.

“Kita juga menghadapi golongan tua yang langsung tiada jaringan sosial untuk hidup tua dan terpaksa menanggungnya sendiri,” katanya berucap dalam sesi penggulungan Kongres Nasional ke-16 KEADILAN hari ini.

Tambah Rafizi, pimpinan baharu juga perlu lebih proaktif menjadikan parti kembali gemilang atau bersiap sedia dikritik anggota parti termasuk rakyat.

“Soalnya kita mencari jalan untuk menawarkan yang terbaik kepada rakyat supaya mereka yakin, bila yakin baru presiden menjadi perdana menteri.

“Kita perlu mencari jalan dan pimpinan perlu menjadi lebih agresif supaya kreatif dan kembali seperti sebelum ini mendepani suara rakyat dan menyakinkan Anwar boleh mengubah masa depan,” katanya.

Bertema ‘Menjulang Keadilan’ kongres tiga hari sejak Jumaat bakal melabuhkan tirainya petang ini. Kongres kali ini menyaksikan lebih 2,000 perwakilan mengambil bahagian selepas tidak dapat berbuat demikian tahun lalu akibat penularan Covid-19.


Pengarang :