EXCO Hal Ehwal Agama Islam Mohd Zawawi Ahmad Mughni berucap dalam sidang Dewan Negeri Selangor di Bangunan Annex, Shah Alam pada 25 Julai 2022. Foto REMY ARIFIN/SELANGORKINI
AGENDANASIONAL

Pindaan enakmen dibentang, beri kuasa mahkamah syariah urus kes dalam talian

SHAH ALAM, 25 JULAI: EXCO hal ehwal agama membentangkan Rang Undang-Undang (RUU) Enakmen Pentadbiran Agama Islam (Negeri Selangor) (Pindaan) 2022 dalam sidang Dewan Negeri Selangor (DNS), hari ini.

Mohd Zawawi Ahmad Mughni berkata pindaan tersebut dibuat bagi memberi kuasa kepada mahkamah syariah untuk menjalankan prosiding kes menerusi teknologi jarak jauh

Beliau ketika membentangkan enakmen itu memaklumkan Jabatan Kehakiman Syariah Selangor (Jakess) menghadapi kekangan prosiding mahkamah secara fizikal disebabkan penularan Covid-19 sehingga menyebabkan kes tertangguh.

“Enakmen Pentadbiran Agama Islam 2003 dan tatacara mal tidak memperuntukkan secara khusus berhubung kuasa mahkamah syariah untuk jalankan prosiding termasuk perbicaraan, sebutan, pengurusan kes, majlis sulh, pentadbiran, wakalah dan afidavit teknologi jarak jauh.

“Oleh demikian, dengan pindaan dibuat kepada undang-undang sedia ada bagi mewujudkan peruntukan yang memberi kuasa mahkamah syariah untuk jalankan prosiding kes menerusi teknologi jarak jauh,” katanya.

Terdahulu, Mohd Zawawi memberitahun DNS, pindaan RUU itu diluluskan dalam mesyuarat Majlis Agama Islam Selangor (Mais) yang bersidang pada 25 Januari lalu untuk dipersembah kepada Sultan Selangor Sultan Sharafuddin Idris Shah Alhaj.

“RUU ini dipersembah dan diperkenan Sultan Selangor pada 7 April selaras dengan subseksyen 22(5) Enakmen Pentadbiran Agama Islam Negeri Selangor 2003. Baginda bersetuju dan berkenan RUU ini dibentang dalam sidang DNS kali ini,” katanya.


Pengarang :