Orang ramai mendapatkan barangan asas melalui karnival Jualan Ehsan anjuran Perbadanan Kemajuan Pertanian Selangor (PKPS) sempena Aidiladha di Jalan Kantan 2, Bukit Beruntung, Hulu Selangor pada 6 Julai 2022. Foto REMY ARIFIN/SELANGORKINI
AGENDANASIONAL

PKPS jual udang, sotong lebih murah selepas Aidiladha

HULU SELANGOR, 6 JULAI: Perbadanan Kemajuan Pertanian Selangor (PKPS) akan menjual udang dan sotong pada harga murah selepas sambutan Hari Raya Aidiladha.

Pengurus kanan pemasarannya memaklumkan hasil laut tersebut dijual 10 peratus lebih rendah berbanding harga pasaran melalui karnival Jualan Ehsan yang dilaksana sejak tahun lalu.

“Udang gred A dijual RM45 sekilogram contohnya, kita akan jual sekitar RM38 ke RM40 sekilogram. Ini untuk memberi lebih penjimatan kepada orang ramai,” kata Mohd Fazir Abdul Latif.

Ditemui pada karnival Jualan Ehsan di Bukit Beruntung di sini hari ini, beliau turut menggalakkan pengusaha kecil dan sederhana (PKS) untuk memasarkan produk mereka menerusi PKPS.

“Saya jangka hingga hujung tahun ini kita ada lebih 80 produk PKS yang dikeluarkan dengan jenama Ehsan, barangan ini kita akan turut jual pada Jualan Ehsan,” katanya.

Sejak Disember tahun lalu, PKPS menjalankan program jualan murah barangan asas di 64 lokasi seluruh negeri bagi mengurangkan beban rakyat susulan kenaikan harga barang.

Selain telur dan ayam, produk lain dijual termasuk daging pejal segar berharga RM35 sekilogram, ikan kembung atau selayang (RM8 perpek) dan minyak masak.

Pada 19 Mei lalu, Dato’ Menteri Besar Dato’ Seri Amirudin Shari memaklumkan program tersebut berjaya memanfaatkan seramai 60,000 keluarga di negeri ini.


Pengarang :