Pengarah Perbadanan Perpustakaan Awam Selangor (PPAS) Datin Paduka Mastura Muhamad berucap ketika majlis makan malam sempena Sambutan 50 Tahun Jubli Emas Perbadanan Perpustakaan Awam Selangor (PPAS) di Hotel Le Meridien, Petaling Jaya pada 14 Julai 2022. Foto FIKRI YUSOF/SELANGORKINI
AGENSISELANGOR

PPAS sedia pelbagai perkhidmatan baharu walau berdepan kekangan Covid-19

PETALING JAYA, 15 JULAI: Perbadanan Perpustakaan Awam Selangor (PPAS) melaksanakan pelbagai perkhidmatan baharu sejak dua tahun lalu di sebalik kekangan pandemik Covid-19.

Pengarahnya berkata inisiatif itu antaranya pinjaman buku yang dihantar melalui e-panggilan (BooksFly2U), pemprosesan buku (Backlog Project), pembelajaran 14 bahasa asing (Language Discovery) dan Bazaar Buku Shah Alam.

Menurut Datin Paduka Mastura Muhamad, perkhidmatan lain disediakan meliputi sumbangan buku kepada petugas barisan hadapan, Pesta Buku Selangor secara hibrid dan pembelajaran kreatif melalui kemudahan dua studio.

“Apa yang kita buat segalanya bermula dengan niat. Kita tidak boleh tinggal diam memandangkan ramai di luar sana yang susah menghadapi pandemik.

“Walaupun hanya program kecil, kita cuba buat sebaik mungkin tanpa membabitkan peruntukan yang besar,” katanya ditemui selepas majlis makan malam sempena sambutan jubli emas PPAS dan pemukiman sasterawan di Hotel Le’Meridien di sini malam tadi.

Sementara itu, beliau berkata pihaknya turut menyediakan dewan dan bilik seminar di perpustakaan kepada agensi bagi pelaksanaan pelbagai program pembangunan modal insan.

“Ini antara kaedah kita menyalurkan peruntukan pembangunan yang diterima daripada Kerajaan Negeri untuk kegunaan dan kemudahan masyarakat.

“Oleh sebab itu kita berusaha memaksimumkan penggunaan segenap ruang perpustakaan,” katanya.


Pengarang :