Dato’ Menteri Besar Dato’ Seri Amirudin Shari berucap ketika Jelajah Selangor Penyayang di Stadium Utama Kuala Selangor pada 2 Julai 2022. Foto FIKRI YUSOF/SELANGORKIN
AGENDANASIONAL

Program kebajikan baharu bantu tingkat taraf sosial, tiada rakyat tertinggal

Khairul Azran Hussin

SHAH ALAM, 24 JULAI: Kerajaan Negeri memperkenalkan pelbagai inisiatif di bawah Iltizam Selangor Penyayang (ISP) demi meningkatkan taraf sosial serta kesejahteraan masyarakat.

Dato’ Menteri Besar Dato’ Seri Amirudin Shari berkata sebanyak 44 program ditawarkan kepada rakyat merangkumi lima perkara utama iaitu kebajikan, keluarga, perumahan, kesihatan dan pendidikan.

“Dahulu pada 2008, program Merakyatkan Ekonomi Negeri diperkenal, kemudian usaha ini diperkasa menerusi Inisiatif Peduli Rakyat (IPR) pada 2017.

“Semua usaha yang telah dilaksanakan digabung dan tambah baik di bawah ISP. Sasaran kita mahu mewujudkan masyarakat penyayang dan prihatin antara satu sama lain,” katanya ketika menjadi tetamu program Malaysia Hari Ini (MHI) siaran TV3 , hari ini.

Amirudin berkata pentadbirannya sentiasa berusaha memastikan lebih ramai rakyat menerima manfaat menerusi pelbagai program di bawah ISP.

ISP yang dilancarkan bulan lalu meliputi 11 inisiatif baharu bagi menambah baik kualiti hidup rakyat negeri ini.

Penambahan itu menjadikan keseluruhan 44 program ditawar kepada penduduk untuk kelestarian dan pembangunan kehidupan dengan belanja lebih RM600 juta.

Antara inisiatif diperkenalkan ialah program kesihatan percuma Selangor Saring, Iltizam Anak Penyayang, Saringan Barah dan Selangor Mental Sihat.

Kerajaan Negeri turutmelancarkan Bantuan Kehidupan Sejahtera Selangor (Bingkas), menggantikan Kasih Ibu Smart Selangor (KISS) yang bakal memanfaatkan 30,000 keluarga.

 


Pengarang :