Pelajar lepasan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) dipelawa memohon program latihan kemahiran dan penyelenggaraan kereta menerusi Program Perantisan Akademi Carsome Malaysia. Foto Facebook Carsome Academy Malaysia.
AGENSIBERITA UTAMASELANGOR

Program latihan senggara kereta, lepasan SPM dipelawa daftar temu duga

SHAH ALAM, 15 JULAI: Unit Pemberdayaan Pekerja Selangor (UPPS) menganjurkan temu duga bergerak bagi menarik penyertaan lepasan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) dalam Program Perantisan Akademi Carsome.

Ketua Penyelarasnya S Vijayan berkata temu duga terbuka untuk menyertai latihan kemahiran dijalankan di lokasi berhampiran peserta yang membuat pendaftaran secara dalam talian dari 5 hingga 22 Julai ini.

“Pelajar lepasan SPM 2019 hingga 2021 yang berminat boleh menghubungi 012-2114057 (Albert) dan 014-2262469 (Razik) untuk pendaftaran.

“Selepas itu kami akan ke tempat mereka untuk temu duga sebelum diterima menyertai latihan kemahiran seperti penyelenggaran kereta selama setahun,” katanya ketika dihubungi.

Sementara itu, beliau memaklumkan sebanyak 70 kekosongan penempatan ditawarkan dalam program terbabit dengan 38 pendaftaran direkodkan setakat ini.

Daripada jumlah tersebut, katanya, 18 peserta layak menyertai kursus di akademi berkenaan manakala selebihnya menunggu sesi temu duga yang akan dijalankan dalam masa terdekat.

“Mereka yang terpilih memulakan latihan selewat-lewatnya tiga minggu selepas tarikh temu duga. Sebaik tamat latihan mereka akan memperoleh sijil Jabatan Pembangunan Kemahiran (JPK).

“Malah, mereka berpeluang diserap bekerja di syarikat terbabit dengan tawaran gaji antara RM2,000 hingga RM2,500. Diharap inisiatif ini membantu mengurangkan kadar pengangguran belia di Selangor,” katanya.


Pengarang :