Loji Rawatan Air (LRA) Langat 2. Foto Facebook Amirudin Shari
AGENDABERITA UTAMANASIONAL

Projek LRA Langat 2 siap sepenuh 2023, mampu salur air 1,130 juta liter sehari

SHAH ALAM, 29 JULAI: Projek Loji Rawatan Air (LRA) Langat 2 dan sistem agihan dilaksana oleh kerajaan persekutuan melalui Pengurusan Aset Air Berhad (PAAB) mengalami kelewatan berbanding jadual asal.

EXCO Infrastruktur Ir Izham Hashim berkata berdasarkan maklumat yang diberikan PAAP, kemajuan projek itu sehingga Mei 2022 adalah 90.32 peratus berbanding sasaran asal iaitu 92.58 peratus.

“LRA Langat 2 mempunyai kapasiti reka bentuk pengeluaran air terawat sebanyak 1,130 juta liter sehari telah pun siap dan dan diaktifkan bermula Disember 2019.

“Bagaimanapun, sistem agihan bagi LRA Langat 2 yang merangkumi koridor barat dan koridor utara masih lagi dalam peringkat pembinaan dan hanya akan siap sepenuhnya pada akhir 2023,” katanya, hari ini.

Beliau menjawab soalan Ahli Dewan Negeri (ADN) Subang Jaya Michelle Ng Mei Sze mengenai langkah mempercepat pengaktifan LRA Langat 2 dalam sidang Dewan Negeri Selangor (DNS), hari ini.

Izham berkata bagi memastikan air terawat LRA Langat 2 dapat disalurkan kepada pengguna, PAAB membuat penyambungan dari Kolam Imbangan Baru LRA Langat 2 di Bukit Enggang kepada Kolam Imbangan LRA Langat 1 sedia ada.

“Seterusnya pihak Air Selangor juga telah melaksanakan dua lagi kerja-kerja penyambungan paip di bahagian hiliran bagi meluaskan sistem agihan kepada lebih banyak kawasan.

“Pada masa ini, Air Selangor telah dapat mengagihkan air terawat yang dikeluarkan dari LRA Langat 2 menggunakan sistem agihan sedia ada sehingga 400 juta liter sehari,” katanya.


Pengarang :