Timbalan Presiden Parti Keadilan Rakyat (KEADILAN) Rafizi Ramli menyampaikan ucapan pengulunggan sempena Kongres Nasional ke-16 KEADILAN di Ideal Convention Centre, Shah Alam pada 17 Julai 2022. Foto HAFIZ OTHMAN/SELANGORKINI
AGENDANASIONAL

Rafizi: Pimpinan baharu kena turun padang, lawan propaganda Najib

SHAH ALAM, 17 JULAI: Semua ahli Parti Keadilan Rakyat (KEADILAN) digesa lebih proaktif menyanggah sebarang propaganda yang ditonjolkan Najib Razak, kata timbalan presidennya.

Rafizi Ramli turut mengajak semua ahli dan pimpinan seluruh negara untuk membuat laporan polis secara besar-besaran Selasa ini terhadap bekas perdana menteri itu agar tidak terus ‘meracun’ pemikiran rakyat.

“Selepas Najib berbohong, kita jangan duduk diam. Buat laporan polis demi laporan polis sebab Najib seorang penakut, sembang kencang kerana orang tak lawan.

“Kita tiada masa dan ada tanggungjawab berat dalam lima bulan akan datang, kena sanggah Umno jangan bagi bermaharajalela. Tidak boleh biarkan racun rakyat,” katanya berucap dalam sesi penggulungan Kongres Nasional ke-16 KEADILAN hari ini.

Rafizi turut mengingatkan pimpinan baharu supaya mempersiapkan dan memperkuatkan jentera dengan membuat persiapan pilihan raya dengan turun ke cabang-cabang untuk berjumpa anggota dalam dua ke tiga minggu lagi.

“Saya juga akan mengusulkan penubuhan koperasi KEADILAN dalam mesyuarat pimpinan akan datang yang bukan sahaja menjaga kebajikan anggota semata-mata tetapi membuktikan kepada rakyat agenda ekonomi berbeza dan mampu diperkasakan.

“Kalau tidak menjadi kerajaan sekalipun kita boleh buka peluang pekerjaan kepada ahli. Kita semua bermula dengan rakyat, tanpa mereka tiada parti,” katanya.


Pengarang :