Peserta silat menunjukkan aksi ketika Kejohanan Seni Bela Diri Selangor Xtiv di Dataran Kemerdekaan Shah Alam pada 29 Mei 2022. Foto FIKRI YUSOF/SELANGORKINI
AGENDANASIONAL

Ramai minat belajar silat lepas tonton filem Mat Kilau

SHAH ALAM, 1 JULAI: Penyertaan untuk mempelajari silat melonjak gara-gara filem Mat Kilau yang mencetuskan fenomena luar biasa di seluruh negara ketika ini.

Persatuan Seni Silat Gayong Malaysia Daerah Jempol memaklumkan lebih 40 pelajar mendaftar seni mempertahankan diri itu sejak tiga hari lalu, lapor Berita Harian.

Naib Pengerusinya Ahmad Shafiq Zulkifli menyifatkan permohonan itu luar biasa berikutan sebelum ini hanya empat atau lima pelajar mendaftar dalam tempoh setahun.

“Impak dicetuskan filem berkenaan menyebabkan ada ibu bapa yang mahu anak mereka belajar silat.

“Sebelum ini, silat kurang mendapat sambutan berikutan ada yang mendakwa hanya sekadar seni bela diri kampung namun tayangan filem itu mengubah persepsi orang ramai,” katanya.

Filem Mat Kilau terbitan Studio Kembara diilhamkan dari tokoh epik sejarah Malaysia yang telah berjuang menentang penjajah British di Pahang sebelum kemerdekaan.

Karya yang mula ditayangkan 23 Jun lalu menampilkan barisan pelakon seperti Datuk Adi Putra, Beto Kusyairy, Fattah Amin, Johan As’ari dan Yayan Ruhan.

Dalam tempoh tujuh hari tayangan, filem tersebut mencatat kutipan lebih RM23 juta sekali gus
menjadikan ia filem epik Melayu pertama yang pecah panggung.


Pengarang :