Dato’ Menteri Besar Dato’ Seri Amirudin Shari bercakap kepada media selepas pembentangan Rancangan Selangor Pertama (RS-1) di Bangunan Annex, Shah Alam pada 27 Julai 2022. Foto FIKRI YUSOF/SELANGORKINI
AGENDANASIONAL

Rancangan Selangor bersifat manusiawi, berbeza pelan ekonomi lain

SHAH ALAM, 27 JULAI: Rancangan Selangor Pertama (RS-1) yang dibentang hari ini berteras ekonomi manusiawi yang digubal mengikut kehendak semasa.

Dato’ Menteri Besar Dato’ Seri Amirudin Shari berkata dokumen itu juga berbeza dengan pelan ekonomi lain yang bersifat menjajah dan menerobos ruang individu.

“RS-1 berbeza daripada pelan ekonomi yang bersifat menjajah dan menerobos ruang individu. Kita akur kehendak semasa yang menggubal perancangan berdasarkan frasa terkenal seperti data driven policies.

“Namun pelan ekonomi kita berteraskan ekonomi manusiawi, Humane Economy seperti ditekankan pengarang Asian Renaissance Datuk Seri Anwar Ibrahim,” katanya ketika membentangkan RS-1 hari ini.

Jelasnya, ekonomi manusiawi bagi mengelak pencabulan hak peribadi seperti kebobrokan Cambridge Analytica atau pelan ekonomi yang meragut jutaan nyawa umpama Great Leap Forward.

Berikutan itu, Amirudin berkata perkara berkaitan tadbir urus dimasukkan dalam strategik keempat supaya pelan ekonomi negeri itu tidak menjadi pelantar.

“Kemahuan kita kepada negeri pintar bukan bermaksud negeri ini dan rakyatnya menjadi automaton. Kita mahukan sebuah negeri pintar, yang manusiawi dan penyayang,” katanya lagi.

Kerangka pembentukan RS-1 meliputi pertumbuhan ekonomi yang menyelaras strategi pelaburan dan peningkatan kesejahteraan hidup serta keterangkuman sosial.

Turut ditekankan ialah pemacuan kelestarian bagi memulihara alam sekitar selain tadbir urus pintar serta berkesan dengan libat urus bersama pemegang taruh juga orang awam.


Pengarang :