Dato’ Seri Amirudin Shari meninjau tapak pembinaan Hab Sekuriti Makanan Selangor Smart Agro Park di Changkat Menteri, Sabak Bernam pada 26 Mac 2021. Foto FIKRI YUSOF/SELANGORKINI
AGENDABERITA UTAMANASIONAL

Rancangan Selangor Pertama, lonjak Sabak Bernam pusat industri makanan laut

SHAH ALAM, 29 JULAI : Pembangunan Kawasan Sabak Bernam (SABDA) bakal menjadi daya tarikan baharu kepada penduduk setempat dan luar sekaligus melonjak daerah tersebut sebagai tumpuan pelancong.

Speaker Dewan Negeri Selangor (DNS) Ng Suee Lim berharap usaha tersebut mampu mempelbagaikan sektor industri di kawasan tersebut serta menjana pendapatan rakyat setempat.

“Antara yang menjadi tumpuan dan menarik minat saya dalam Rancangan Selangor Pertama (RS-1) ini adalah SABDA kerana ia turut melibatkan dewan undangan negeri (DUN) saya (Sekinchan).

“Saya harap Sabak Bernam tidak bergantung kepada sektor pertanian sahaja, kita mahu apabila sebut Sekinchan atau Sabak Bernam orang tahu kawasan ini juga mempunyai industri makanan laut,” katanya kepada SelangorKini.

ADN Sekinchan turut berharap sebuah universiti maritim dibangunkan di daerah tersebut supaya anak muda didedah dengan pendidikan persekitaran, kelestarian dalam satu subjek dengan menggunakan kemahiran moden.

“Saya yakin dengan kerjasama semua pihak semua harapan ini kita dapat diterjemah dalam tempoh lima tahun akan datang,” katanya.

Kelmarin, Dato’ Menteri Besar Dato’ Seri Amirudin Shari mengumumkan SABDA antara yang menjadi tumpuan negeri dalam tempoh lima tahun menerusi pembentangan RS-1.

Pembangunan berkeluasan 1,317 hektar dengan nilai pelaburan RM1.9 bilion dianggar memberi pulangan hasil RM248 juta setahun.


Pengarang :