Ketua Pegawai Eksekutif Tourism Selangor Azrul Shah Mohamad ketika ditemui media pada majlis penutup Kejohanan Golf Tourism Selangor 2022 di Kelab Golf Seri Selangor, Petaling Jaya pada 23 Julai 2022. Foto AHMAD ZAKKI JILAN/SELANGORKINI
AGENSIBERITA UTAMASELANGOR

Rancangan Selangor Satu dijangka bantu rancak semula sektor pelancongan negeri

PETALING JAYA, 24 JULAI : Tourism Selangor berharap Rancangan Selangor Satu (RS-1) yang bakal dibentangkan Rabu ini akan memberi lebih penumpuan terhadap sektor pelancongan.

Ketua Pegawai Eksekutif Azrul Shah Mohamad berkata sektor terbabit antara paling terjejas ekoran pandemik Covid-19 yang melanda dunia.

“Ketika pandemik kita mengalami kesan ketidakhadiran pelancong sekali gus merencatkan pertumbuhan ekonomi kerana tiada pertukaran mata wang asing, jadi segalanya terjejas.

“Justeru, saya berharap RS-1 yang bakal dibentangkan tidak lama lagi dapat menjana pertumbuhan ekonomi pelancongan di sembilan daerah dan 12 pihak berkuasa tempatan di Selangor,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui selepas majlis penutup Kejohanan Golf Tourism Selangor 2022 di Kelab Golf Seri Selangor, Kota Damansara di sini.

Dato’ Menteri Besar Dato’ Seri Amirudin Shari sebelum ini memaklumkan RS-1 memfokuskan empat prinsip utama merangkumi ekonomi, sosial, kelestarian dan tadbir urus bagi menjayakan agenda Negeri Pintar menjelang 2025.

Kerangka jelas berkenaan RS-1 akan dimaklumkan ketika pelancarannya pada 27 Julai ini pada sidang Dewan Negeri Selangor (DNS).


Pengarang :