Seramai 380 orang bakal jemaah Haji terkandas di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) selepas ditipu oleh sebuah agensi pelancongan. Foto BERNAMA
AGENDANASIONAL

Reman lima suspek kes tipu pakej haji disambung tiga hari

SHAH ALAM, 14 JULAI: Reman lima suspek kes penipuan haji furada membabitkan 380 jemaah disambung tiga hari sehingga Ahad ini.

Ketua Polis Kuala Lumpur Datuk Azmi Abu Kassim berkata siasatan diteruskan mengikut Seksyen 420 Kanun Keseksaan sebaik siasatan oleh Polis Selangor selesai semalam, lapor Berita Harian.

“Semalam, kelima-lima suspek diserahkan kepada Polis Kuala Lumpur selepas tempoh reman empat hari terhadap mereka tamat di Selangor.

“Polis Kuala Lumpur akan menyambung siasatan dan mereka kini direman tiga hari bermula hari ini,” katanya.

Pada 7 Julai, kira-kira 380 bakal jemaah haji terkandas di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) dipercayai menjadi mangsa penipuan sebuah agensi pelancongan.

Berikutan kejadian itu, polis pada 8 Julai lalu menahan lima suspek berusia antara 30 hingga 60 tahun, terdiri pemilik sebuah agensi pelancongan dan isteri, seorang ejen dan dua pekerja di pejabat agensi pelancongan yang beroperasi di Danau Kota, Setapak.

Kelmarin, Polis Diraja Malaysia (PDRM) memaklumkan sudah menerima 72 laporan di seluruh negara dengan kerugian RM3.95 juta membabitkan tiga agensi pelancongan dan 13 kertas siasatan sudah dibuka.

Kuala Lumpur merekodkan jumlah laporan tertinggi dengan 24 dan membabitkan kerugian RM1.24 juta, diikuti Selangor dengan 14 laporan (RM404,000) dan Pahang dengan 13 laporan membabitkan kerugian RM1.61juta.

Polis Kelantan, Johor dan Perak, masing-masing menerima lima laporan dengan jumlah kerugian RM209,000, RM176,00 dan RM171,000.

Tiga laporan turut diterima di Kedah membabitkan kerugian RM48,000, dan masing-masing satu laporan di Terengganu (RM38,000), Pulau Pinang (RM32,000) dan Negeri Sembilan (RM16,000).


Pengarang :