Anak-anak istimewa meluangkan masa di gerai Yayasan Warisan Anak Selangor (Yawas) pada program Jelajah Selangor Penyayang di perkarangan Stadium Kuala Selangor, Kuala Selangor pada 2 Julai 2022. Foto AHMAD ZAKKI JILAN/SELANGORKINI
AGENSI BERITA UTAMA SELANGOR

Ribuan pengunjung meriahkan Jelajah Selangor Penyayang di Kuala Selangor

KUALA SELANGOR, 2 JULAI : Ribuan pengunjung memeriahkan Jelajah Selangor Penyayang di Stadium Utama Kuala Selangor yang berlangsung dari 8 pagi hingga 5.30 petang hari ini.

Pelbagai acara menarik dijalankan sejak awal pagi antaranya senamrobik, pertandingan sukan rakyat, pertandingan mewarna dan pertandingan e-sukan Mobile Legend dan Fifa dihadiri lebih 5,000 pengunjung seperti mana program sebelumnya.

Menariknya, pada 2 petang nanti penonton turut dihiburkan dengan persembahan nyanyian daripada penyanyi terkenal Wani Hasrita dan Mr X Buskers.

Jelajah kali ini bertujuan mempromosi pelbagai inisiatif kebajikan rakyat dengan penyertaan 23 anak syarikat Kerajaan Negeri.

Inisiatif itu dijayakan menerusi peruntukan RM350 juta di bawah Iltizam Selangor Penyayang menggantikan Inisiatif Peduli Rakyat supaya lebih ramai penduduk memperoleh manfaat disediakan Kerajaan Negeri.

Antaranya Bantuan Kehidupan Sejahtera Selangor (Bingkas) menggantikan Kasih Ibu Smart Selangor (KISS) membantu hingga 30,000 keluarga berbanding 25,000 keluarga sebelum ini.

Turut dilaksana, program Selangor Saring untuk mengesan penyakit kronik dengan perbelanjaan RM1.5 juta yang memanfaatkan 5,000 orang terutama golongan berisiko.

Dato’ Menteri Besar Dato’ Seri Amirudin Shari melancarkan majlis perasmian program seterusnya menyerahkan bantuan kepada penerima Iltizam Selangor Sihat, Bantuan Sihat Selangor, Peduli Sihat Penjawat Awam dan Anugerah Kampung Terbaik daerah Kuala Selangor.

Jelajah itu kemudian turut dijadual diadakan di daerah Petaling dan Gombak.


Pengarang :