Dato’ Menteri Besar Dato’ Seri Amirudin Shari melekatkan Jalur Gemilang pada motosikal peserta program Inisiatif Roda Darul Ehsan (RiDE) di Dewan Rakyat Batu Caves, Gombak pada 21 Ogos 2021. Foto RADIN WAZIR
AGENSISELANGOR

RiDE diperluas bantu lebih ramai belia dapat kerja

SHAH ALAM, 27 JULAI: Program Inisiatif Roda Darul Ehsan (RiDE) terus diperluas dengan beberapa penambahbaikan bagi meningkatkan penglibatan belia dalam sektor ekonomi sampingan.

Dato’ Menteri Besar Dato’ Seri Amirudin Shari berkata usaha itu diambil bagi meningkatkan kebolehpasaran sekali gus menangani isu pengangguran dalam kalangan anak muda.

“Golongan ini merupakan aset masa depan Selangor dan negara amnya, peranan dan tanggungjawab belia akan terus diberi perhatian.

“Selangor mempunyai dasar belia yang diluluskan peringkat Dewan Negeri dan bersifat komprehensif serta holistik untuk masa depan anak muda.

“Program seperti RiDE akan diperluaskan bagi membantu meningkatkan penglibatan belia dalam sektor ekonomi gig (sampingan) dengan beberapa penambahbaikan,” katanya ketika membentang Rancangan Selangor Pertama (RS-1) dalam sidang Dewan Negeri Selangor (DNS) hari ini.

Belanjawan Selangor 2022 memperuntuk RM2 juta untuk meneruskan inisiatif RiDE susulan permohonan memberangsangkan dalam kalangan belia penghantar makanan.

Program RiDE menawarkan subsidi lesen motosikal B2 berjumlah RM350, kursus p-panggilan bernilai RM150 dan caruman Perkeso RM70 setahun.

Malah, menerusi program itu, seramai 3,000 penunggang p-panggilan di Selangor menyertai siri latihan keselamatan bagi mengelak risiko kemalangan jalan raya.

 

 

 

 


Pengarang :