Dato’ Menteri Besar Dato’ Seri Amirudin Shari bercakap pada Sesi Wacana SMART dan Tadbir Urus Berkesan selepas merasmikan Simposium Prapelancaran Rancangan Selangor Pertama (RS-1) 2021-2025 di Pusat Konvensyen MBSA, Shah Alam pada 7 Julai 2022. Foto AHMAD ZAKKI JILAN/SELANGORKINI
AGENDANASIONAL

RMK-12 jadi sandaran bentuk Rancangan Selangor Satu

SHAH ALAM, 7 JULAI: Selangor tidak meminggirkan Rancangan Malaysia ke-12 (RMK-12) meskipun mempunyai Rancangan Selangor Satu (RS-1) yang bakal dibentang bulan ini.

Dato’ Menteri Besar Dato’ Seri Amirudin Shari menjelaskan RMK-12 berserta dasar-dasar sedia ada di Selangor dijadikan dokumen sandaran bagi membentuk RS-1.

“Kita tidak pernah meninggalkan RMK-12, tidak pernah meninggalkan Wawasan Kemakmuran Bersama dan dasar-dasar yang ada dalam Selangor,” katanya pada Majlis Simposium Prapelancaran RS-1 2021-2025 di Pusat Konvensyen Majlis Bandaraya Shah Alam di sini hari ini.

“Kita ada dokumen seperti blueprint Negeri Pintar 2025, blueprint pengangkutan awam, industri, pelaburan dan ini semua dijadikan dokumen sandaran serta penilaian semula untuk kita bentuk RS-1.”

Beliau berkata pembentangan rancangan terbabit akan dibuat sempena sidang Dewan Negeri Selangor pada 25 Julai ini dengan perbahasan mengenainya dijadual berlangsung.

“Kita berharap rancangan ini diluluskan untuk melengkapkan satu pelan menyeluruh yang menyambut RMK-12, menyambut Wawasan Kemakmuran Bersama sebagai mana diumum pada 2019,” katanya.

RS-1 dibangunkan untuk memenuhi keperluan penduduk negeri ini sebagai agenda penting Kerajaan Negeri dalam tempoh lima tahun akan datang.


Pengarang :