Roti canai pelangi bukan sahaja mempunyai warna menarik tetapi turut mempunyai perisa seperti strawberi, durian, epal, keladi dan jagung. Foto Facebook ROTI CANAI PELANGI
BUDAYARENCANA

Roti canai pelangi pelbagai rasa hanya RM1.50 di Kuala Selangor

Oleh Nurhafizah Tan

KUALA SELANGOR, 29 JULAI: Menikmati roti canai yang merupakan makanan sinonim masyarakat Malaysia di warung terletak di Kampung Sungai Yu di sini, tentunya memberi kelainan kepada pengunjung.

Mana tidaknya, pengusaha warung tersebut Dimyati Tualo, 61, mengetengahkan roti canai pelbagai perisa dan warna yang diadun menggunakan resepi ‘rahsianya’.

Bahkan, kedai yang terletak lebih 70 kilometer dari ibu negara itu dikenali sebagai Warung Roti Canai Pelangi kerana barisan doh tepung pelbagai warna terang yang disusun berselang-seli di atas meja bak pelangi sebelum ditebar dan dimasak.

Dimyati (tiga, kanan) menggunakan hampir 10 guni tepung gandum bagi menyiapkan adunan roti canai untuk operasi lima hari seminggu. Foto Facebook ROTI CANAI PELANGI

Hidangan unik itu bukan sahaja mempunyai warna menarik seperti merah jambu, hijau, biru dan kuning tetapi jua turut berperisa strawberi, durian, epal, keladi dan jagung.

Berkongsi lanjut, anak jati Kuala Selangor itu berkata beliau mengambil masa kira-kira enam bulan untuk ‘bereksperimen’ mendapatkan resepi dan sukatan betul bagi memasukkan warna dan bahan perisa yang tepat ke dalam adunan.

“Mula-mula saya hanya letak pewarna sahaja, empat bulan kemudian saya mula bereksperimen meletakkan bahan perasa pula.

“Penyesuaian sukatan bahan termasuk pewarna, perisa dan bancuhan air, termasuk suhu sesuai adalah aspek paling mencabar dan rumit bagi menjayakan resepi ini, tersalah bancuhan akan menyebabkan keseluruhan adunan rosak,” katanya.

Penebar roti canai dengan 15 tahun pengalaman itu berkata perniagaan yang beroperasi 7 pagi hingga 12 tengah hari, itu secara purata menerima 300 pelanggan pada hari Selasa hingga Khamis dan boleh mencecah 1,000 pelanggan ketika beroperasi pada hujung minggu.

Doh tepung pelbagai warna disusun berselang-seli seperti warna pelangi. Foto Facebook ROTI CANAI PELANGI

Katanya keunikan roti canai yang mula ditawarkan pada awal 2020 itu turut menjadi tarikan pelancong selain menjadi pilihan persinggahan pasukan konvoi bermotosikal yang melalui kawasan tersebut.

Menurutnya, sambutan memberangsangkan pelanggan itu turut membuka peluang pekerjaan secara separuh masa kepada anak-anak muda di kampung berhampiran memandangkan beliau memerlukan sehingga 16 pekerja bagi menyokong operasi.

Bapa kepada lima anak itu berkata beliau mengambil masa kira-kira empat jam untuk menyiapkan roti canai berharga RM1.50 itu, serta menggunakan hampir 10 guni tepung gandum untuk operasi lima hari seminggu.

— BERNAMA


Pengarang :