Data Agensi Antarabangsa untuk Penyelidikan Barah (IARC) Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) pada 2021 mengesan seramai 128,018 orang menghidap pelbagai jenis barah dalam tempoh lima tahun di negara ini. Foto BERNAMA
RENCANAWAWANCARA

Ruam mungkin tanda awal barah kulit, pelindung matahari kurangkan risiko

Oleh Atira Khalisha Nor Adnan

KUALA LUMPUR, 13 JULAI: Bagi sesetengah individu ruam di bahagian kulit adalah perkara biasa namun ia berkemungkinan tanda awal barah kulit.

Penghidap barah kulit tahap empat Nur Syahidah Rashid, 21, berkata dia tidak sangka ruam kecil berbentuk rama-rama dan gatal-gatal dialami membuatkannya terpaksa menerima rawatan kimo sehingga hari ini.

“Saya ingatkan sebab cuaca panas jadi saya tidak fikir apa-apa. Selepas pergi ke klinik pun doktor hanya bagi krim sapu, antibiotik dan ubat demam.

“Selepas enam bulan pula kulit mengelupas dan berdarah satu badan jadi ibu saya terus bawa ke hospital untuk buat ujian air kencing kerana keadaan saya semakin teruk,” katanya ketika dihubungi Bernama.

Pendedahan yang kurang tentang simptom-simptom yang ada membuatkan Syahidah terpaksa akur dengan takdir selepas doktor mengesahkan dia menghidap barah kulit dan sudah pun berada di tahap empat.

Menurut statistik Pelan Tindakan Strategik Kebangsaan Untuk Kanser, barah kulit (tidak termasuk melanoma) adalah antara 10 barah dengan kadar kejadian tertinggi, mencecah tiga peratus bagi lelaki dan perempuan di Malaysia pada tahun 2012-2016.

Pakar Perunding Dermatologi di Hospital Pakar Avisena, Dr Kartini Farah Rahim berkata teknologi seperti alat kanta pembesar serta teknik histologi yang lebih maju membantu pakar dalam mengesan kes barah kulit dan bukan barah.

“Sebab itu sekarang terdapat peningkatan kes barah kulit dikesan berbanding dahulu,” katanya.

Senada dengan Dr Kartini Farah, Pakar Perunding Dermatologi di Hospital Pakar An-Nur Bangi, Dr Nur Ashikin Ahmad berkata kadar kenaikan kes juga disebabkan kerana kesedaran orang ramai terhadap simptom-simptom awal penyakit ini.

“Sekarang ini masyarakat menjadi lebih berwaspada dengan informasi yang mereka baca di media sosial jadi jika mereka rasa ada yang tidak kena, mereka akan segera berjumpa dengan pakar untuk mendapatkan nasihat lanjut,” katanya.

Penggunaan pelindung bantu kurangkan risiko barah kulit

Terdapat banyak faktor menyumbang kepada terkenanya barah kulit seperti pendedahan berlebihan kepada cahaya matahari, pekerjaan, imunosupresi, faktor genetik dan gaya hidup.

Menurut Dr Farah Kartini, pelindung matahari atau lebih dikenali sebagai sunscreen boleh membantu individu menapis sinar ultraviolet (UV) berlebihan namun mestilah dalam kuantiti mencukupi.

“Bagi mendapatkan perlindungan maksima, pelindung matahari perlu disapu semula terutamanya selepas aktiviti berenang atau berpeluh.

“Kebanyakan pengguna mendedahkan diri mereka kepada cahaya matahari yang terik lebih dan menyangka produk pelindung matahari memberi perlindungan sepenuhnya terhadap radiasi UV sepanjang hari tanpa mengulangi penyapuan,” katanya.

Dr Kartini Farah juga menekan penggunaan sunscreen amat penting kepada penghidap fotosensitasi seperti lupus dan fotoalergi, penghidap barah kulit serta golongan pesakit yang mengambil ubat imunosupresi contohnya penerima transplan organ.

Sementara itu, Dr Nur Ashikin turut berpesan bahawa masyarakat juga perlu melakukan langkah lain seperti menggunakan payung, topi atau memakai baju berlengan panjang ketika berada di luar walaupun sudah mengaplikasikan pelindung matahari.

“Walaupun kita dah pakai pelindung muka, ia masih tidak 100 peratus lindungi kita, di mana ia sama seperti dengan tingkap kereta dengan lapisan tint. Sinaran UVA masih boleh tembusinya,” katanya.

Pelindung matahari tidak bahaya

Mungkin ada segelintir takut ingin menggunakan pelindung matahari kerana ada tanggapan ia penyumbang kepada barah kulit.

Menurut Dr Kartini Farah, produk pelindung matahari secara amnya mempunyai profil keselamatan yang baik.

“Penggunaan produk pelindung matahari yang tidak sesuai boleh menyebabkan iritasi pada kulit. Ada juga kesan sampingan yang melibatkan allergic contact dermatitis. Walau bagaimanapun, ia jarang berlaku.

Reaksi-reaksi ini biasanya berlaku disebabkan bahan pengawet, pewangi atau bahan kandungan lain dalam produk tersebut, yang mana boleh juga berlaku dalam produk kosmetik lain,” jelasnya.

Syahida yang merupakan penghidap barah kulit juga sempat berkongsi dengan Bernama penggunaan pelindung matahari sedikit sebanyak membantu mengurangkan reaksi barah kulitnya.

“Kalau pakai sunscreen kemerahan pada kulit saya dapat dikurangkan,” katanya.

– BERNAMA


Pengarang :