Speaker Dewan Negeri Selangor Ng Suee Lim bercakap kepada Media Selangor selepas sidang Dewan Negeri Selangor (DNS) di Bangunan Annex, Shah Alam pada 27 Julai 2022. Foto FIKRI YUSOF/SELANGORKINI
AGENDANASIONAL

Selangor bentang RUU Anti Lompat Parti November ini

SHAH ALAM, 29 JULAI: Kerajaan Selangor akan membentang Rang Undang-Undang (RUU) Anti Lompat Parti pada November depan, kata Speaker Dewan Negeri Selangor (DNS).

Ng Suee Lim berkata Selangor akan mengikut jejak langkah Dewan Rakyat yang meluluskan RUU terbabit selepas bacaan kali ketiga, semalam.

“Sudah pasti kita di peringkat negeri akan mengikut jejak langkah Parlimen dan saya akan berbincang dengan ketua dewan iaitu Dato’ Menteri Besar dalam masa terdekat mengenai perkara ini.

“Paling cepat dan jika tiada halangan saya jangka pada belanjawan 25 November depan kita akan bentang,” katanya ketika ditemui selepas sidang DNS di sini, hari ini.

Beliau berkata demikian ketika ditanya sama ada Selangor akan mengikut langkah persekutuan selepas Dewan Rakyat meluluskan RUU Anti Lompat Parti.

Semalam, Yang di-Pertua Dewan Rakyat Tan Sri Azhar Azizan Harun mengumumkan RUU Perlembagaan (Pindaan) (No. 3) 2022 mengenai lompat parti diluluskan selepas pengundian belah bahagi dijalankan.

Sejumlah 209 ahli Parlimen menyokong RUU berkenaan yang antara lain boleh menyebabkan seseorang ahli Parlimen hilang kerusi dimenanginya jika wakil rakyat itu bertukar parti.


Pengarang :