Lebih 20,000 kes jenayah siber direkodkan di Malaysia sepanjang 2022. Foto BERNAMA
AGENDANASIONAL

Selangor catat 1,407 kes jenayah dalam talian, nilai rugi RM60.5 juta

SHAH ALAM, 14 JULAI: Jenayah penipuan dalam talian di Selangor mencatatkan nilai kerugian RM60.5 juta membabitkan 1,407 kes antara Januari hingga 5 Julai lalu.

Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Komersial Selangor berkata rekod kes itu menyumbang kepada 75 peratus keseluruhan jenayah komersial berbanding bersemuka, 449 kes.

Asisten Komisioner Azman Ali menjelaskan sindiket memilih modus operandi itu berikutan risiko untuk dikenali lebih rendah dan hanya memerlukan akses internet.

“Malah, sindiket mempunyai peluang luas apabila pandemik Covid-19 kerana masyarakat tidak keluar rumah disebabkan pergerakan sosial terhenti dan berpindah kepada transaksi dalam talian,” katanya.

Beliau bercakap pada program bual bicara Awas? Si Penipu Online melalui Facebook Media Selangor dan YouTube SelangorTV pada 12 Julai.

Azman menambah kes penipuan dalam talian tertinggi dicatatkan oleh pelaburan tidak wujud, diikuti Macau Scam dan penipuan e-dagang melibatkan jual beli barangan dan perkhidmatan.

“Ada juga kes penipuan menyamar sebagai kawan untuk meminjam wang, namun kita lihat kes yang mula meningkat ialah penipuan tawaran kerja menggunakan syarikat-syarikat terkenal,” katanya.

 


Pengarang :