Dato’ Menteri Besar Dato’ Seri Amirudin Shari (dua, kiri) bersama Menteri Tenaga dan Sumber Asli Datuk Takiyudin Hassan (kiri) melihat replika batu sempadan selepas menandatangani Penjanjian Sempadan Darat antara Negeri Selangor dan Negeri Sembilan di Sama Sama Hotel, Sepang pada 4 Julai 2022. Foto HAFIZ OTHMAN/SELANGORKINI
AGENDABERITA UTAMANASIONAL

Selangor dalam proses ukur sempadan dengan Kuala Lumpur, Perak

SEPANG, 4 JULAI: Proses pengukuran sempadan antara Selangor, Kuala Lumpur dan Perak sedang dijalankan bagi memuktamadkan jajaran pemisah.

Dato’ Menteri Besar Dato’ Seri Amirudin Shari berkata setakat ini proses itu masih diperingkat awal dan melibatkan sempadan darat.

“Dengan Kuala Lumpur kita sudah tandatangani memorandum persefahaman (MoU) pertama dan kita ikuti dengan pengukuran pada MoU kedua dan ketiga.

“Untuk Perak juga kita telah siapkan dan hanya tunggu maklum balas daripada sahabat kita di Perak yang mungkin ada beberapa penelitian yang perlu dibuat,” katanya.

Beliau berkata demikian pada Majlis Menandatangani Perjanjian Darat Di Antara Negeri Selangor Dan Negeri Sembilan di Hotel Sama-Sama di sini hari ini.

Amirudin menjelaskan proses persempadanan membabitkan Kuala Lumpur dijangka mengambil masa yang lama dan rumit berikutan Wilayah Persekutuan itu dulunya adalah sebahagian daripada Selangor.

“Beberapa perumahan, pembangunan yang telah berakar umbi di sana akan sedikit sebanyak memberi kesan, namun saya percaya Jabatan Ukur dan Pemetaan Malaysia (Jupem) ada formulanya.

“Ini kita akan lihat selepas kerja pengukuran dijalankan… kawasan sempadan Ampang, Keramat, Gombak dan Selayang ada kesan melibatkan jalan, fasiliti dan kita akan cuba selaraskan,” katanya.


Pengarang :