AGENDASUKANKINI

Selangor FC skuad termuda dalam Liga Super, sasar juara tempoh tiga tahun

SHAH ALAM, 25 JULAI: Pasukan Selangor FC menawarkan kontrak kepada pemain muda berbakat tinggi bagi memperkukuh usaha pembangunan bola sepak negeri.

EXCO Pembangunan Sukan Mohd Khairuddin Othman berkata barisan pemain Gergasi Merah juga merupakan skuad termuda dalam saingan Liga Super tahun ini, dengan purata umur 25 tahun.

“Dalam tempoh dua hingga tiga tahun ini, kematangan pemain Selangor akan menjadi titik permulaan pasukan ini memberi cabaran lebih sengit kepada pasukan pencabar merebut kejuaraan Liga Super, Piala FA dan Piala Malaysia.

“Kumpulan pemain ini turut disasar menjadi kesebelasan utama pasukan Harimau Malaya dalam tempoh dua, tiga tahun akan datang.

“Melalui pengurusan kontrak yang lebih bersifat jangka masa panjang, pemain muda Selangor diharap dapat menggantikan pemain kebangsaan yang telah berusia, katanya.

Beliau menjawab soalan wakil rakyat Sabak Ahmad Mustain Othman mengenai usaha pembangunan bola sepak negeri dalam sesi soal jawab sidang Dewan Negeri Selangor, hari ini.

Malam tadi, skuad Gergasi Merah melayakkan diri ke peringkat separuh akhir Piala FA selepas mengalahkan Sabah FC 2-0 dalam perlawanan suku akhir di Stadium Likas, Kota Kinabalu.

Skuad bimbingan Michael Feichtenbeiner memperoleh gol  menerusi jaringan Hyuri Henrique dan Herlison Caion.


Pengarang :