EXCO Hal Ehwal Orang Asli Hee Loy Sian berucap ketika Sidang Dewan Negeri Selangor di Bangunan Annex, Shah Alam pada 25 Julai 2022. Foto REMY ARIFIN/SELANGORKINI
AGENDANASIONAL

Selangor garis tiga hala tuju capai pengurangan karbon menjelang 2030

SHAH ALAM, 25 JULAI: Kerajaan Negeri memfokuskan tiga hala tuju dalam mencapai sasaran pengurangan karbon sebanyak 45 peratus menjelang 2030.

EXCO perubahan iklim berkata antara program yang dirancang dalam memastikan matlamat itu tercapai ialah kecekapan tenaga (Energy Efficiency-EE), tenaga boleh diperbaharui (Renewable Energy-RE) dan pengurusan sisa pepejal.

“Usaha-usaha kecekapan tenaga seperti penggunaan peralatan cekap tenaga dan penggunaan amalan pengeluaran bersih oleh industri yang dapat mengurangkan penggunaan tenaga di sektor industri dan komersial akan dilaksanakan.

“Menjelang 2030, lebih banyak tenaga akan dijana daripada sumber-sumber yang boleh diperbaharui (RE) seperti biojisim, mini hidro, tenaga solar dan biogas,” kata Hee Loy Sian pada sidang Dewan Negeri Selangor (DNS) hari ini.

Beliau menjawab soalan wakil rakyat Bandar Utama Jamaliah Jamaluddin berhubung komitmen Kerajaan Negeri menjadi negara neutral karbon pada 2050.

Mengulas mengenai jumlah emisi karbon negeri, Loy Sian memaklumkan bacaan itu telah dilaksanakan di peringkat pihak berkuasa tempatan yang digariskan dalam Kerangka Bandar Rendah Karbon (LCCF).

“Majlis Bandaraya Petaling Jaya (MBPJ) mencatat jumlah emisi karbon tertinggi iaitu 3.4 juta tan gas karbon dioksida (CO2) diikuti Majlis Perbandaran Ampang Jaya (MPAJ) 2.4 juta tan CO2 dan Majlis Perbandaran Kuala Langat (MPKL) 816,347 tan CO2.

“Bagi merealisasikan agenda negeri untuk mewujudkan bandaraya rendah karbon dan kelestarian alam sekitar, antara inisiatif dilaksana ialah pemasangan panel solar di bangunan Kerajaan Negeri termasuklah premis-premis PBT seperti medan selera, sekolah dan dewan awam,” katanya.


Pengarang :