Dato’ Menteri Besar Dato’ Seri Amirudin Shari melepaskan konvoi Misi Selangor Penyayang: Bantuan Pascabanjir Baling Kedah di dataran bangunan pentadbiran Kerajaan Negeri, Shah Alam pada 6 Julai 2022. Foto AHMAD ZAKKI JILAN/SELANGORKINI
AGENDABERITA UTAMANASIONAL

Selangor hantar misi bantuan pascabanjir di Baling, bantu ringan beban mangsa

SHAH ALAM, 6 JULAI: Dato’ Menteri Besar Dato’ Seri Amirudin Shari melepaskan konvoi misi bantuan pascabanjir ke Baling, Kedah di dataran pusat pentadbiran rasmi Kerajaan Negeri di sini, hari ini.

Konvoi Misi Selangor Penyayang diketuai Setiausaha Bahagian Unit Pengurusan Bencana Selangor Mohd Ikram Rahimi berserta 189 pegawai pihak berkuasa tempatan (PBT) dan 20 Sukarelawan Selangor (SERVE).

Amirudin berkata sebanyak 33 jentera dan 112 alatan dibawa bagi menjayakan operasi bantuan itu meliputi pacuan empat roda (4×4), van dan lori Roll on Roll Off (RoRo) dan lori tipper.

Perkakas lain menurut beliau seperti mesin pemotong pokok, tong air, pam air bertekanan tinggi, jengkaut, lampu dan pelbagai alatan pembersihan lain.

“Diharap sokongan diberikan mampu mengurangkan beban sahabat kita di Kedah dan tanda kesediaan Selangor berdepan dengan pelbagai cabaran mendatang.

“Anggap juga sebagai latihan lapangan yang mungkin akan berlaku Selangor kerana kita pernah mengalami situasi ini tahun lepas,” katanya ketika ditemui.

Dalam pada itu, beliau berkata pasukan misi bantuan dijangka berada di kawasan bencana sehingga Jumaat, namun tidak menolak kemungkinan tempoh tersebut dilanjutkan sehari sebelum Aidiladha.

“Berdasarkan foto dan video dikongsikan, keadaan di sana agak parah. Jadi saya percaya mangsa juga perlu pulang ke rumah, apatah lagi sambutan Hari Raya Aidiladha menjelang tiba.

“Jika rumah tidak dibersihkan dan kayu-kayan tidak dialih, mungkin ambil masa lama untuk diselesaikan,” katanya lagi.

Hujan lebat hampir tiga jam di Baling pada petang kelmarin menyebabkan paras air Sungai Kupang melimpah memasuki kediaman penduduk berdekatan.

Tiga sekeluarga berusia antara 14 hingga 53 tahun disahkan hilang dihanyutkan arus dalam kejadian kepala air dan banjir.


Pengarang :