Pasukan Selangor MAC meraikan kejuaraan mereka selepas menundukkan pasukan Pahang Rangers dengan jaringan 4-3 pada perlawanan akhir Piala Futsal Malaysia 2022 yang berlangsung di Kompleks Sukan Panasonic Shah Alam pada 23 Julai 2022. Foto BERNAMA
AGENDASUKANKINI

Selangor MAC dinobat juara sulung Piala Futsal Malaysia 2022

SHAH ALAM, 24 JULAI: Pasukan Selangor MAC berjaya mengalahkan Pahang Rangers dengan jaringan 4-3 sekali gus muncul juara sulung Piala Futsal Malaysia 2022 semalam.

Dalam perlawanan yang berlangsung di Kompleks Sukan Negara Panasonic di sini Pahang Rangers mendahului saingan menerusi Rizuan Bakri seminit sebelum babak pertama berakhir.

Sinar Harian melaporkan Selangor MAC berjaya menyamakan kedudukan menerusi bekas pemain Pahang Rangers, Khairul Affendy Bahrin, sebaik sahaja babak kedua bermula.

Kemudian Khairul Affendy terus menjadi watak penting Selangor MAC apabila lorongannya berjaya disudahkan Firdaus Anmbiah pada minit ke-30.

Selang beberapa saat, Khairul Affendy menambah tekanan ke atas Pahang Rangers apabila menyempurnakan sepakan percuma untuk melebarkan kedudukan 3-1.

Selangor MAC mengukuhkan kedudukan pada babak kedua menerusi Firdaus Ambiah yang menyumbangkan gol keempat.

Walaupun ketinggalan jauh, Pahang Rangers cuba bangkit dengan meledak dua gol pada lewat permainan, masing masing menerusi Farhan Khairul Anwar dan Akmarulnizam Idris.

Namun, dua gol itu nyata gagal menghalang Selangor MAC meraih kejuaraan berganda selepas berjaya mempertahankan kejuaraan Liga Perdana Futsal Malaysia (MPFL) pada Mac lalu.


Pengarang :