Keadaan aliran trafik menghala ke Kuala Lumpur di Lebuhraya Utara- Selatan ketika tinjauan pada 13 Januari 2021. Foto: BERNAMA
SELANGOR

Selangor nilai laporan pemaju PJD Link, berhak tolak jika tidak memuaskan

SHAH ALAM, 27 JULAI: Laporan pemaju akan diteliti secara menyeluruh sebelum membenarkan pembinaan projek Lebuh Raya Bertingkat Penyuraian Trafik Petaling Jaya (PJD Link), kata Dato’ Menteri Besar.

Dato’ Seri Amirudin Shari berkata bagaimanapun setakat ini pihaknya belum mendapat sebarang laporan yang menjadi syarat dalam perjanjian konsesi bersama pemaju.

“Pemaju datang kepada kita dan janji untuk atasi semua ulasan dan komen semua pihak tetapi setakat ini kita tak terima, jadi belum buat keputusan.

“Kita kena adil. Kena dengar dari pihak pemaju dan penduduk yang bantah. Kita buat kerja berdasarkan data dan fakta. Kalau mereka tak buat, kita boleh tolak,” katanya pada sidang Dewan Negeri Selangor hari ini.

Beliau menjawab soalan tambahan wakil rakyat Sungai Pelek Ronnie Liu berhubung pendirian Kerajaan Negeri terhadap PJD Link.

Jelas Amirudin, sekiranya penilaian dibuat, pemaju perlu membuat sekali lagi pendengaran awam sebelum kelulusan tanah dibenarkan.

“Kalau penjelasan tidak memuaskan hati, kita tak benarkan projek PJD Link ini,” katanya.

Awal Julai, kira-kira 50 penduduk Petaling Jaya berhimpun di Jalan Prof Khoo Kay Kim bagi membantah projek PJD Link yang diluluskan kerajaan secara dasar.


Pengarang :