Pengunjung menjalani pemeriksaan kesihatan percuma Selangor Saring sempena Jelajah Selangor Penyayang daerah Petaling di Laman MBPJ, Petaling Jaya pada 24 Julai 2022. Foto FIKRI YUSOF/SELANGORKIN
AGENDANASIONAL

Selangor Saring galak rakyat jaga kesihatan, cegah penyakit dari awal

Khairul Azran Hussin

SHAH ALAM, 24 JULAI: Program saringan kesihatan percuma membantu rakyat negeri ini mengesan awal penyakit tidak berjangkit sekali gus mengelak menjadi lebih parah.

Dato’ Menteri Besar berkata inisiatif Selangor Saring antara program terkandung di bawah Iltizam Selangor Sihat (ISS) yang memberi perlindungan kesihatan menyeluruh kepada rakyat.

“Dahulu kita ada laksanakan program Peduli Sihat, kita bantu rakyat yang menghidap penyakit. Namun kali ini kita tambah baik dengan menggalakkan rakyat melakukan saringan kesihatan.

“Jika kesan sebarang penyakit seperti barah, penghidap ada peluang untuk sembuh sebab kesan dari awal. Ini antara tujuannya supaya rakyat kenal pasti status kesihatan,” katanya Dato’ Seri Amirudin Shari ketika menjadi tetamu program Malaysia Hari Ini (MHI) siaran TV3 , hari ini.

Pada 2 Julai, Amirudin berkata sekitar RM67 juta diperuntukkan dalam kluster kesihatan ISP demi memastikan kehidupan penduduk lebih membangun dan mampan.

Menurut beliau, jumlah terbabit merangkumi penganjuran 10 program utama iaitu Iltizam Selangor Sihat, Skim Rawatan Jantung, Bantuan Sihat Selangor dan Saring Selangor.

Turut terkandung Saringan Barah, Nutrisi Makanan Kanak-kanak, Cakna Kesihatan Mental, Rawatan Tuberculosis, Pemeriksaan Kesihatan Mata dan Skim Kesihatan Wanita.

Seramai 100,000 penduduk negeri ini dijangka menerima manfaat program tersebut.

 


Pengarang :