Petugas kesihatan mengambil sampel darah peserta program Selangor Saring di Dewan MPAJ Lembah Jaya, Ampang pada 11 Jun 2022. Foto FIKRI YUSOF/SELANGORKINI
ADNBERITA UTAMASELANGOR

Selangor Saring terbaik untuk rakyat, cegah penyakit serius lebih awal

SHAH ALAM, 17 JULAI: Program Selangor Saring anjuran Kerajaan Negeri disifatkan terbaik untuk rakyat sebagai langkah pencegahan awal kepada sebarang jenis penyakit serius.

Wakil rakyat Hulu Kelang Saari Sungib berkata program itu patut diteruskan bagi memupuk kesedaran masyarakat berhubung kepentingan penjagaan kesihatan awam.

“Lebih 500 individu pelbagai usia hadir pada program Selangor Saring hari ini dan ia sekali gus membuktikan rakyat sudah mula sedar pentingnya penjagaan kesihatan.

“Rata-rata yang hadir juga memuji pelaksanaan program dan berharap ia diteruskan secara berkala,” katanya ketika dihubungi SelangorKini.

Program pemeriksaan kesihatan percuma Dewan Undangan Negeri (DUN) Hulu Kelang diadakan dari jam 9 pagi hingga 3 petang di Dewan MPAJ AU2, Taman Seri Keramat.

Manakala, program sama turut diadakan di Dewan Sri Siantan, Jalan Sungai Tua, Taman Selayang bagi DUN Taman Templer.

Wakil rakyatnya Sany Hamzan berkata lebih 200 individu hadir pada program itu yang terdiri daripada pelbagai usia dan kaum.

“Program ini membuktikan tanda keprihatinan Kerajaan Selangor kepada rakyat untuk memastikan penduduk di negeri ini sentiasa sihat dan berjaga-jaga dalam aspek kesihatan,” katanya.

Kerajaan Negeri memperuntuk RM3.4 juta bagi menjayakan Selangor Saring yang bakal memanfaatkan 39,000 penduduk khususnya individu yang mempunyai sejarah perubatan keluarga, obesiti dan gaya hidup tidak sihat.

Program hingga 4 September itu menawarkan saringan fizikal, ujian darah dan air kencing, mata, servik dan kanser payu dara, ujian darah najis okulta atau kolorektal serta prostat.


Pengarang :