EXCO Pembangunan Usahawan Rodziah Ismail (tengah) bersama peserta program e-kelas usahawan Yayasan Hijrah Selangor dengan syarikat rangkaian telekomunikasi Maxis pada 20 Julai 2022. Foto Facebook Rodziah Ismail
BERITA UTAMAEXCOSELANGOR

Selangor sasar 10,000 usahawan Hijrah dibantu secara dalam talian

SHAH ALAM, 21 JULAI: Kerajaan Negeri menyasarkan 10,000 usahawan Yayasan Hijrah Selangor (Hijrah) dibantu untuk terlibat aktif menerusi jualan secara dalam talian.

EXCO Pembangunan Usahawan Rodziah Ismail berkata jumlah itu mampu dicapai dengan pelaksanaan program seperti e-kelas usahawan bersama syarikat rangkaian telekomunikasi Maxis semalam.

“Melalui kelas ini, peserta dapat meningkatkan lagi pengetahuan berkaitan dalam talian dan digitalisasi seperti strategi pemasaran digital, fotografi dan suntingan gambar, penulisan kreatif serta perancangan kempen.

“Saya yakin bahawa asas dan prinsip aspek ini amat penting diteliti dan difahami sebelum memulakan perniagaan secara dalam talian,” katanya kepada SelangorKini.

Menurutnya, sekiranya kursus itu dilaksana dengan lebih kerap, beliau yakin sasaran 10,000 lagi usahawan mampu dicapai sehingga hujung tahun ini.

“Saya harap menerusi e-kelas peserta dapat meningkatkan pendapatan hasil jualan dalam talian dengan mencerna dan mengadaptasi semua maklumat dan ilmu pengetahuan yang diterima.

“Malah, saya difahamkan program ini merupakan pertama kali dianjur dengan kerjasama Maxis dan kita amat bangga Selangor dipilih sebagai negeri pertama oleh rangkaian telekomunikasi (Maxis) untuk anjur program ini,” katanya.

Terdahulu, Rodziah hadir menyempurnakan program e-kelas usahawan Hijrah bersama Maxis di Auditorium Dewan Jubli Perak, Bangunan Sultan Salahuddin Abdul Aziz Shah di sini.


Pengarang :