EXCO Perumahan Rodziah Ismail bercakap kepada media ketika Misi Selangor Penyayang 2.0 di Surau An Nur Taman Mesra Kupang, Baling, Kedah pada 21 Julai 2022. Foto FIKRI YUSOF/SELANGORKINI
AGENDABERITA UTAMANASIONAL

Bah di Baling: Selangor sedia kongsi pengalaman urus, bina semula rumah

BALING, 21 JULAI: Selangor sedia berkongsi pengalaman dengan Kerajaan Kedah bagi membangunkan semula 17 rumah penduduk yang musnah akibat banjir di daerah ini pada awal Julai.

EXCO Perumahan Rodziah Ismail berkata pihaknya akan mengadakan pertemuan dengan pegawai daerah terbabit sekiranya wujud keperluan untuk membina rumah dalam tempoh terdekat.

Beliau menjelaskan Kerajaan Negeri mempunyai pengalaman mengurus serta membina semula lebih 18,000 kediaman penduduk terjejas bah pada akhir Disember lalu.

“Buat masa ini kita belum dapat apa-apa permohonan untuk berbuat demikian. Jika ada (keperluan), insya-Allah kita boleh tengok bagaimana bantuan boleh disampaikan.

“Kerajaan Selangor pernah membantu pembangunan semula 45 unit rumah di Kelantan ketika bencana sama pada 2014,” katanya ditemui selepas menyerahkan bantuan kepada 163 penduduk terkesan bah di Surau An Nur Taman Mesra Kupang di sini, hari ini.

Serahan bantuan Misi Selangor Penyayang (MSP) 2.0 merangkumi wang tunai RM100, tilam, selimut dan keperluan kanak-kanak turut disampaikan EXCO Pembangunan Luar Bandar Borhan Aman Shah.

Misi kali kedua itu turut disertai 150 anggota Skuad Pasukan Tindakan Segera (Pantas) dari 12 pihak berkuasa tempatan (PBT), Sukarelawan Selangor dan Team Selangor.

Pada 6 Julai, misi pertama disertai 262 anggota PBT dan sukarelawan membantu membersihkan puluhan kediaman mangsa banjir dengan 90 tan sampah pukal dikeluarkan dari kawasan tersebut.

Hujan lebat hampir tiga jam di Baling pada 4 Julai lalu menyebabkan paras air Sungai Kupang melimpah memasuki kediaman penduduk berdekatan dan mengorbankan tiga individu termasuk wanita hamil.

EXCO Perumahan Rodziah Ismail menyampaikan sumbangan tilam dan bantal serta wang kepada mangsa banjir sempena Misi Selangor Penyayang 2.0 di Surau An-Nur Taman Mesra Kupang, Baling, Kedah pada 21 Julai 2022. Foto FIKRI YUSOF/SELANGORKINI

Pengarang :