ADN Pandan Indah Ir Izham Hashim menyampaikan bantuan bakul makanan kepada penduduk sempena Hari Raya Aidiladha. Foto Facebook Izham Hashim
ADNSELANGOR

Sempena Aidiladha, ADN Pandan Indah belanja RM25,000 bantu golongan susah

SHAH ALAM, 6 JULAI: Seramai 470 penduduk di Pandan Indah, dekat Ampang menerima bantuan bakul makanan sempena Aidiladha yang disambut pada Ahad ini.

Wakil rakyat Ir Izham Hashim berkata sumbangan menerusi Program Pandan Prihatin itu melibatkan belanja lebih RM25,000 bagi meringankan beban keluarga berpendapatan rendah menyiapkan keperluan hari raya.

“Penerima merupakan golongan berpendapatan rendah dan benar-benar memerlukan bantuan. Jadi bakul makanan kering ini membantu mereka mengurangkan kos belanja.

“Semoga inisiatif dapat meringankan beban penerima terutama ketika harga barang semakin meningkat dan tidak terkawal,” katanya kepada SelangorKini hari ini.

Pada April, ketika sambutan Aidilfitri, Izham mengagihkan 500 pek barangan keperluan asas secara percuma kepada penduduk sekitar Pandan Indah.

Pek berkenaan mengandungi dua ekor ayam, santan, nasi himpit dan minyak masak sebagai persediaan Syawal.


Pengarang :