EXCO Pembangunan Generasi Muda Mohd Khairuddin Othman (depan, enam kiri) bersama 150 anggota PBT dan sukarelawan menyertai Misi Selangor Penyayang (MSP) 2.0 bagi membantu mangsa banjir Baling di Pejabat Tanah dan Daerah Baling, Kedah pada 21 Julai 2022. Foto AHMAD ZAKKI JILAN/SELANGORKINI
AGENDABERITA UTAMANASIONAL

Serve Rescue dilatih cekap tangani keadaan, pasukan pertama ke lokasi bencana

BALING, 22 JULAI: Sukarelawan Selangor (Serve) Rescue akan menjadi pasukan pertama diturunkan ke kawasan bencana seperti banjir dan tanah runtuh, kata EXCO pembangunan generasi muda.

Mohd Khairuddin Othman berkata setakat ini 100 ahli terpilih sedang menjalani latihan kecergasan bersama Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Selangor bagi memastikan mereka cekap menangani situasi.

“Ahli dilatih dengan pelbagai kemahiran. Ini sebagai persediaan sekiranya berlaku kejadian tak diingini dan mereka mampu mengendalikan termasuk membantu mangsa.

EXCO Pembangunan Generasi Muda Mohd Khairuddin Othman bercakap kepada Media Selangor selepas sesi taklimat bencana kepala air di Pejabat Tanah dan Daerah Baling, Kedah pada 21 Julai 2022. Foto AHMAD ZAKKI JILAN/SELANGORKINI

“Jika perlu, mereka juga akan dihantar ke negeri lain yang berdepan bencana. Pengambilan ahli dilakukan Majlis Sukan Negeri dan hanya peserta terbaik akan dipilih,” katanya kepada SelangorKini hari ini.

Sebelum ini Serve Rescue dikenali sebagai Serve Elit dan Kerajaan Negeri menyediakan dana RM100,000 bagi penubuhan pasukan berkenaan.

Tawaran ahli terbuka kepada warga tempatan berusia 18 hingga 45 tahun, sihat tubuh badan tanpa kecacatan fizikal, boleh membaca dan menulis serta berminat menjalankan tugas sukarela dan aktiviti kemasyarakatan.


Pengarang :