Bangunan Sultan Salahuddin Abdul Aziz Shah yang juga pusat pentadbiran rasmi Kerajaan Negeri. Foto ARKIB SELANGORKINI
AGENDABERITA UTAMANASIONALPILIHAN MINGGUAN

Siaran langsung bentang pelan majukan ekonomi 27 Julai

SHAH ALAM, 21 JULAI: Rancangan Selangor Satu (RS-1) yang dibentang julung kali pada 27 Julai ini* boleh ditonton secara langsung menerusi SelangorTV dan Facebook Media Selangor.

Dipancar dari Dewan Negeri Selangor, pembentangan pelan lima tahun bagi tempoh 2021-2025 turut dilaporkan portal Selangorkini dan Selangor Journal termasuk edisi Mandarin dan Tamil.

Butiran penting pembentangan Dato’ Menteri Besar Dato’ Seri Amirudin Shari juga diterbitkan dalam akhbar mingguan Selangorkini edisi 28 Julai-3 Ogos.

Sebelumnya, Amirudin menjelaskan RS-1 berfungsi membina daya tahan kukuh bagi mendepani cabaran masa depan dalam persekitaran yang kian kompleks.

Beliau berkata usaha menjayakan Selangor sebagai Negeri Pintar menjelang 2025 dirangka dengan teliti dan bersifat ‘living document’ (pelan anjal yang boleh disesuaikan dengan perkembangan semasa).

“Pembangunan RS-1 bermatlamat empat teras strategik utama iaitu pengukuhan sektor ekonomi, membina
kesejahteraan rakyat dan keterangkuman sosial, memacu agenda kelestarian dan peningkatan kecekapan tadbir urus,” katanya pada 16 Julai.

Kerangka pembentukan Rancangan Selangor Satu meliputi pertumbuhan ekonomi yang menyelaras strategi pelaburan dan peningkatan kesejahteraan hidup serta keterangkuman sosial.

Turut ditekankan ialah pemacuan kelestarian bagi memulihara alam sekitar selain tadbir urus pintar serta berkesan dengan libat urus bersama pemegang taruh juga orang awam.

Rancangan itu melalui empat fasa utama melibatkan penjajaran visi, kerangka dan sasaran (pertama) sementara fasa dua merangkumi perincian diagnosis dan pembangunan kandungan.

Bagi fasa ketiga, ia melibatkan perincian dan penentuan keutamaan program sementara fasa empat pula merangkumi sesi validasi dan pemuktamadan laporan.

Nota editor: Tarikh ini dijadual semula kepada 27 Julai


Pengarang :